JAKARTA: Langkah beberapa negara meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19, secara jelas memberi harapan besar kepada dunia dalam memerangi pandemik tersebut pada tahun depan.
Namun begitu, pengeluaran dan proses pengagihan vaksin Covid-19 akan menjadi satu lagi cabaran yang harus dilalui.
Kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 pada kadar segera iaitu setahun selepas wabak Covid-19 dikesan di Wuhan, China adalah bukti usaha besar global dalam menangani wabak yang telah membunuh lebih 1.7 juta orang.
Para saintis berjaya membangunkan vaksin yang berpotensi melawan jangkitan virus itu hanya dalam beberapa minggu sahaja dan berjuta-juta dos suntikan telah dikeluarkan.
“Situasi seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini apabila kita mempunyai tiga vaksin berpotensi dibangunkan dalam masa yang singkat dan kesemuanya amat menyakinkan,” kata anggota Pasukan Petugas Sains Covid-19 Switzerland, Marcel Tanner.
Meskipun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat farmaseutikal BioNTech, Ugur Sahin menjangkakan penduduk bakal berdepan dengan kes sporadik Covid-19 pada dekad akan datang.
Beliau bagaimanapun berkata, masalah tersebut dapat ditangani dengan beberapa vaksin yang dipercayai mampu melawan jangkitan virus membawa maut itu.
* Vaksin untuk penduduk dunia
Lebih 100 vaksin yang berpotensi dilaporkan dalam proses pembangunan.
Para pakar vaksin berpandangan, beberapa suntikan akan diperlukan untuk menyediakan dos yang mencukupi bagi menyuntikan seluruh penduduk di dunia tanpa mengira golongan kaya mahupun miskin.
* Bekalan vaksin terhad
Bekas Pengarah Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Tom Frieden mendakwa terdapat risiko bekalan vaksin tidak akan mencukupi untuk diagihkan dalam jangka masa panjang sehingga tahun 2022.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 60 peratus penduduk perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Negara-negara membangun yang berharap memperoleh akses vaksin menerusi skim antarabangsa dibawah WHO itu mungkin harus menunggu kerana negara kaya sudah menempah vaksin lebih awal.
* Keberkesanan vaksin
Setakat ini, Rusia telah menyuntik lebih 200,000 penduduk dengan vaksin `Sputnik V’ yang didakwa oleh pengeluarnya terbukti 91.4 peratus berkesan.
Bagaimanapun, bukan semua projek vaksin berjaya mencapai matlamatnya.
Syarikat farmaseutikal, Sanofi dan GlaxoSmithKline terpaksa menangguhkan sementara ujian klinikal vaksin berpotensi mereka selepas gagal memberi perlindungan kepada orang dewasa.
Sebuah projek vaksin keluaran Australia juga gagal.
Vaksin AstraZeneca yang hanya menunjukkan tahap keberkesanan 62 peratus juga menjadi tanda soal. – AGENSI