TOKYO: Sekurang-kurangnya 1,816 kontena yang diangkut atas sebuah kapal kargo hanyut di lautan selepas kapal itu dibadai ribut ketika perjalanan ke Jepun
Insiden itu dipercayai merupakan kes kehilangan kargo akibat cuaca buruk terbesar dalam sejarah industri perkapalan dunia.
Lapor Daily Mail, kapal kontena tersebut, ONE Apus tiba di Pelabuhan Kobe, Jepun pada Selasa lalu selepas menempuh perjalanan selama lapan hari di Lautan Pasifik.
Ribut melanda tengah Lautan Pasifik dan kesemua kontena itu dilaporkan hilang pada jarak kira-kira 1,600 batu nautika di barat laut Hawaii.
Sebanyak 64 kontena barang berbahaya hilang, bersama 54 lagi yang terdiri daripada mercun, bateri dan bahan cecair etanol.
Kapal itu dilaporkan melawan ombak setinggi 52 kaki semasa perjalanannya dan juga gelora yang lebih kuat berbanding biasa.
ONE Apus merupakan kapal kargo sepanjang 363.9 meter yang boleh memuatkan 14,000 kontena dengan ukuran kira-kira 609 sentimeter setiap satu.
Kapal kargo itu dikendalikan oleh Ocean Network Express di Far East Pacific 2 Service.
Pemilik dan pengurus kapal itu berkata, peralatan operasi kapal, peralatan kargo, dan jentera penggerak berada dalam keadaan baik.
Sehubungan itu, satu siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi menyiasat insiden tersebut.