NEW DELHI: Satu kajian mendedahkan pencemaran udara menyumbang kira-kira 1.7 juta kematian pramatang di India pada tahun lalu atau 18 peratus daripada semua kematian.
Lapor The Guardian, satu laporan yang dikeluarkan oleh Lancet menyatakan pencemaran di India juga menyebabkan peningkatan pelbagai penyakit seperti barah paru-paru, penyakit jantung, strok, diabetes, gangguan neonatal dan penyakit pernafasan yang mengakibatkan jutaan kes kematian.
Data menunjukkan kematian akibat pencemaran di India semakin meningkat daripada 1.24 juta kes pada 2017 kepada 1.67 juta kes pada tahun lalu.
Jelas laporan itu, Delhi kerap menjadi bandar paling tercemar di dunia ketika musim sejuk kerana dilitupi dengan asap tebal dan partikel udara bertoksik meningkat hingga 500 peratus lebih tinggi berbanding tahap `sihat’ yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berdasarkan laporan Kualiti Udara Dunia baru-baru ini, sebanyak enam bandar di India menduduki kelompok 10 teratas paling tercemar di dunia.
Menurut laporan Lancet 2019, pencemaran sudah menjadi salah satu pemisah terbesar antara golongan kaya dan miskin di India.
Jelas laporan itu, hal itu demikian kerana penduduk kaya dapat mengimbangi pencemaran dengan menggunakan pembersih udara di dalam kereta dan kediaman mereka sementara golongan miskin pula tidak mampu sehingga terpaksa menanggung kesan kesihatan jangka panjang.
Pencemaran di Delhi tahun ini dikaitkan dengan peningkatan dalam kes Covid-19 dan kematian ketika musim sejuk bermula, dengan Persatuan Perubatan India melaporkan bahawa sebanyak 13 peratus daripada kes Covid-19 di bandar ini mungkin berkaitan dengan pencemaran udara.
Menurut laporan Lancet, kes kematian akibat pencemaran pada tahun lalu telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$36.8 bilion (RM149.36 bilion) atau 1.36 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan Uttar Pradesh dan Bihar terjejas teruk.
“Jumlah kematian dan penyakit yang tinggi akibat pencemaran udara serta kesan buruk ekonomi daripada kerugian dialami boleh menjejaskan aspirasi India untuk mencapai AS$5 trilion (RM20.2 trilion) menjelang 2024,” katanya.