NEW ZEALAND: Seorang ibu bertindak tidak menghantar anaknya ke sekolah selepas mendakwa seorang guru menutup mulut anaknya dengan pita pelekat kerana terlalu banyak bercakap di dalam kelas.
Lapor Mirror, wanita itu mendakwa anaknya yang berusia tujuh tahun tercicir dalam pelajaran selama dua minggu bagi penggal ini dan konsert Krismasnya kerana terlalu takut untuk kembali ke kelas.
Menurut penjaga itu, anaknya antara salah seorang murid yang ditampal mulutnya dengan pita pelekat plastik itu kerana terlalu banyak bercakap.
Pengetua Sekolah Colwill di West Auckland, Rob Taylor berkata, pihaknya mengetahui tentang insiden itu dan sedang menjalankan siasatan.
“Siasatan mendalam dan terperinci akhirnya berjaya dilengkapkan dengan penjaga terakhir sudah ditemu bual.
“Perkara ini memerlukan masa berdasarkan kesediaan dan masa pihak berkepentingan untuk berjumpa kita,” katanya.
Menurut pihak sekolah, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan guru terlibat itu sudah membuat permohonan maaf.
“Saya berasa sangat kecewa dengan kejadian yang berlaku dan meminta maaf kepada murid dan ibu bapa kerana menyebabkan kekecewaan kepada keluarga anda,” katanya.