JAKARTA: Pusat Gunung Berapi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) meningkatkan status gunung berapi aktif, Gunung Lewotolo daripada tahap dua kepada tahap tiga.
Lapor Detik News, Ketua BPBD Lembata, Kanis Making berkata, amaran itu menyebabkan 2,782 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
“Ya, memang benar pasukan PVMBG menaikkan status gunung itu ke tahap tiga sejak pukul 1 tengah hari semalam kerana letusan Lewotolo akan mengeluarkan lava panas,” katanya.
Selain itu, PVMBG turut mengeluarkan amaran penting kepada penduduk sekitar gunung itu termasuk pelawat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer daripada kawasan kawah Lewotolok.
Penduduk disarankan menggunakan pelitup muka atau peralatan lain bagi melindungi mata dan kulit daripada terkena abu gunung berapi itu.
Bagi penduduk yang tinggal di kawasan sungai menghala ke gunung itu juga perlu berjaga-jaga sekiranya berlaku letusan yang mengalirkan lava sejuk, khususnya ketika musim hujan.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Pembangunan dan Kajian Teknologi Bencana Geologi, Hanik Humaida berkata, Gunung Merapi juga berada dalam keadaan aktif ketika ini dan dijangka meletus dalam tempoh terdekat selepas statusnya dinaikkan ke tahap dua.
Namun, katanya, letusan kali ini mungkin bersifat lebih elusif atau kecil berbanding letusan sebelum ini.