KATHMANDU: Nepal dan China mencapai kata sepakat dan mengumumkan ketinggian baharu Gunung Everest, sekali gus mengakhiri pertikaian selama beberapa dekad mengenai puncak tertinggi di dunia antara kedua negara tersebut.
Lapor Daily Mail, Gunung Everest kini berada pada ketinggian 8,848.86 meter iaitu 86 sentimeter lebih tinggi berbanding ukuran Nepal sebelum ini dan lebih empat meter daripada dinyatakan China.
Sebelum ini, ukuran dibuat Nepal mendapati ketinggian Gunung Everest adalah 8,848 meter manakala ukuran China pula pada 8,844.43 meter.
Perbezaan itu berlaku disebabkan China mengukur dasar batu di puncak dan tidak seperti bacaan baharu yang turut merangkumi ukuran salji dan ais yang meliputi bahagian atas gunung.
Ketinggian baharu itu dipersetujui selepas dua negara berkenaan menghantar juruukur untuk mengukur dari bahagian gunung masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
Terdapat perdebatan mengenai ketinggian sebenar puncak gunung itu dan kebimbangan mungkin ada perubahan selepas gempa bumi besar berlaku pada 2015.
Selepas lawatan kerja Presiden China, Xi Jinping ke Nepal pada Oktober lalu, dua negara itu bersetuju untuk mengukur semula ketinggian gunung tersebut dalam usaha mengakhiri pertikaian yang sudah lama berlaku.
Nepal dan China melancarkan projek penyelidikan saintifik pada tahun ini bagi menentukan ketinggian tepat Gunung Everest.
Kerajaan China menggambarkan ekspedisi tersebut sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara berkenaan.
Nepal menghantar pasukan juruukur pertama mereka pada Mei tahun lalu untuk mengukur ketinggian Gunung Everest.
Jurucakap dari Jabatan Survei Nepal, Damodar Dhakal berkata, pasukan juruukur telah menggunakan Sistem Satelit Navigasi Global untuk mendapatkan ketinggian tepat gunung tersebut.
Dilaporkan, juruukur China kemudian mendaki ke puncak gunung itu pada musim bunga lalu apabila dua negara itu menyekat pendakian Gunung Everest berikutan pandemik Covid-19.
Rakaman video teleskop yang dikeluarkan oleh stesen penyiaran CCTV menunjukkan pendaki warga China sampai ke titik puncak yang dilitupi dengan salji tebal pada 27 Mei lalu.