Guna teknologi tindas penduduk Islam Xinjiang - Utusan Malaysia

Guna teknologi tindas penduduk Islam Xinjiang

SEORANG wanita Uighur menunjukkan gambar ahli keluarganya yang ditahan China dalam satu demonstrasi di Istanbul, Turki awal bulan ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Penduduk Islam di wilayah Xinjiang, China dipercayai disenaraikan `secara sewenang-wenangnya’ untuk ditahan menerusi sebuah program komputer yang kononnya bertindak mengesan perbuatan individu yang mencurigakan.

Kumpulan aktivis berkata demikian dalam satu laporan yang memperincikan peranan data itu mengenai penindasan di wilayah tersebut.

Menurut Human Rights Watch, sebuah data polis didedahkan yang menyenaraikan lebih 2,000 tahanan dari wilayah Aksu, menunjukkan bukti lanjut bagaimana penduduk Islam Turki di Xinjiang ditindas secara kejam oleh China dengan menggunakan teknologi.   

Jelas badan pemantau berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), pihaknya mendapat senarai terbabit yang mengandungi maklumat penahanan dari pertengahan 2016 hingga akhir 2018, daripada seorang sumber tidak didedahkan nama yang sebelum ini pernah memberi kandungan audiovisual dirakam dari sebuah kemudahan di Aksu.    

“Sebagai contoh, kes `Puan T’ yang ditahan kerana mempunyai `kaitan dengan negara sensitif’ berikutan menerima banyak panggilan daripada nombor luar negara yang sebenarnya merupakan kakaknya.

“Para penyiasat kami sempat bercakap dengan wanita tersebut dan mendapat tahu bahawa polis telah menyoal siasat kakaknya di Xinjiang tetapi sejak itu dia tidak berhubungan langsung dengan keluarganya di wilayah tersebut,” menurut pertubuhan itu.

Berdasarkan Human Rights Watch, penduduk berkenaan disenaraikan menerusi program dinamakan Platform Operasi Bersepadu, sebelum pihak berkuasa memutuskan untuk menghantar mereka ke kem. 

Program tersebut bertindak mengumpul data daripada sistem pengawasan di Xinjiang.

Dakwa pertubuhan itu, data program itu turut menunjukkan sebilangan besar penduduk disenaraikan atas tingkah laku yang sah termasuk membuat panggilan kepada saudara di luar negara, tidak mempunyai alamat tetap atau mematikan telefon mereka berulang kali.  

Hanya kira-kira 10 peratus orang yang berada dalam senarai itu ditahan atas sebab keganasan atau ekstremisme. 

Senarai itu, yang sebahagiannya dilihat oleh AFP, menjelaskan punca penahanan kebanyakan penduduk itu hanya kerana disenaraikan oleh platform berkenaan.   

Kumpulan hak asasi itu tidak mendedahkan kandungan penuh senarai terbabit bagi melindungi keselamatan individu yang mendedahkan perkara tersebut. 

Setakat ini, Kerajaan tempatan Aksu dan pihak berkuasa Xinjiang belum memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Beijing dikritik hebat oleh komuniti antarabangsa mengenai pelaksanaan beberapa dasar di wilayah Xinjiang yang kaya dengan hasil sumber.

Kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa sejuta penduduk etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di wilayah tersebut.   

China bagaimanapun menafikan dan mendakwa kem tahanan itu berperanan sebagai pusat latihan vokasional yang bertujuan memerangi keganasan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, firma penyelidikan pengawasan berpangkalan di AS, IPVM memaklumkan syarikat Huawei terlibat dalam sistem pengimbasan wajah yang mungkin boleh menghantar notifikasi kepada polis sekiranya mengesan penduduk minoriti Uighurs. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya