BERLIN: Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) akan memulakan program vaksinasi bagi mencegah jangkitan Covid-19 dalam tempoh 10 hari lagi ketika blok dunia itu terus ‘mengejar rapat’ Britain dan Amerika Syarikat (AS yang sudah pun memulakan proses berkenaan.
Ketua EU, Ursula von der Leyen mengesahkan tarikh 27 Disember dipilih untuk memulakan program vaksinasi tersebut.
“Sebanyak 450 juta penduduk EU akan menerima suntikan vaksin bermula 27, 28 dan 29 Disember,” ciapnya dalam Twitter.
Menteri Kesihatan Eropah, Jens Spahn berkata, Jerman akan memulakan vaksinasi pada tarikh tersebut jika semua perancangan berjalan dengan baik, manakala negara EU yang lain juga boleh bermula dari tarikh itu.
Namun, Belanda mengambil pengecualian apabila memilih untuk menunggu sehingga 8 Januari sebelum memulakan program vaksinasi.
Jerman dan beberapa negara anggota EU kini menunggu Agensi Perubatan Eropah (EMA) untuk meluluskan vaksin yang dibangunkan oleh Pfizer dan BioNtech.
EMA dijangka mengumumkan kelulusan itu pada 21 Disember ini, selain dalam usaha mempercepatkan kelulusan satu lagi vaksin iaitu keluaran Moderna.
Seorang pegawai kanan EU pula memaklumkan blok tersebut akan memberi kata putus mengenai kelulusan vaksin pada 23 Disember ini.
Dalam pada itu, Itali memaklumkan negara itu akan memberi suntikan vaksin kepada petugas kesihatan pada 27 Disember, seiring dengan Austria.
Menurut Ketua Pegawai Perubatan BioNTech, Oezlem Tuereci, kira-kira 140,000 orang sudah menerima suntikan vaksin tersebut di Britain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ‘maraton’ dalam kalangan pembuat vaksin di seluruh dunia belum selesai. – AFP/AGENSI