TOKYO: Japan Airlines meminta para penumpangnya untuk membuat pilihan beretika dengan mengelak menempah makanan (skipping meals) di dalam pesawat ketika penerbangan.
Lapor CNN, seorang wakil syarikat penerbangan itu berkata, langkah tersebut hanya bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan dan bukannya menurunkan kos perbelanjaan.
Katanya, pilihan beretika itu ketika ini hanya disediakan untuk penerbangan semalaman bagi destinasi terpilih di Asia kerana ramai penumpang gemar tidur dalam pesawat berbanding berjaga untuk makan.
Meskipun syarikat penerbangan menyediakan hidangan untuk setiap individu yang menaiki pesawat, terdapat penumpang yang memilih untuk berehat, tidur atau membawa makanan ringan dari rumah sehingga mengakibatkan pembaziran makanan.
Program tersebut diilhamkan oleh Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang mana antara misinya adalah mengurangkan pembaziran makanan di seluruh dunia.
Program itu pertama kali dilaksanakan secara percubaan pada penerbangan antara Bangkok dan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada bulan lalu.
Penerbangan selama lima setengah jam itu biasanya dikendalikan sebagai `red eye’ iaitu berlepas dari Bangkok pada waktu malam (10.40 malam) dan tiba di destinasi pada keesokan paginya (5.40 pagi).
Para penumpang boleh memilih untuk tidak memesan makanan mereka lebih awal dengan melayari laman sesawang Japan Airlines atau menghubungi syarikat penerbangan selepas tempahan penerbangan disahkan.
Selain pilihan itu, pramugari syarikat penerbangan itu juga menggunakan iPad dalam penerbangan untuk mengurangkan percetakan kertas menu.