Dua pesalah rogol Britain dipenjara 40 tahun - Utusan Malaysia

Dua pesalah rogol Britain dipenjara 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Dua pesalah seksual yang disifatkan paling berbahaya Britain bakal menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 40 tahun selepas kerajaan negara ini memohon hukuman mereka ditingkatkan berbanding keputusan sebelum ini.

Peguam Negara Britain mencadangkan supaya Reynhard Sinaga dan Joseph McCann menghabiskan hayat mereka di dalam penjara susulan kesalahan yang dilakukan.

Namun, lima hakim mahkamah rayuan termasuk Ketua Hakim England dan Wales, Ian Burnett enggan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kedua-dua tertuduh.

Para hakim menyatakan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan merupakan antara kes rogol paling ‘teruk’ yang pernah dibicarakan di mahkamah England dan Wales.

Sehubungan itu, hakim memutuskan hukuman penjara kedua-dua pesalah tersebut ditambah dari 30 hingga 40 tahun.

Sinaga dari Indonesia didapati melakukan 159 kesalahan termasuk 136 rogol dan lapan cubaan merogol dalam empat perbicaraan berasingan yang bermula pada Jun 2018 dan berakhir pada hujung Disember lalu.

Pesalah berusia 36 tahun itu didakwa ‘menggoda suspek golongan lelaki’ untuk pergi ke rumahnya di Manchester sebelum memberi dadah dan menyerang mangsa sambil merakam aksi berkenaan.

Polis percaya lelaki itu menyerang sebanyak 195 lelaki dan para hakim menyifatkannya sebagai ‘pemangsa seksual bersiri’

Dalam pada itu, McCann, 34, dipenjarakan pada Januari lalu selepas menyerang 11 orang yang berusia antara 11 dan 71 tahun di sekitar London dan barat laut England.

Hakim yang menjatuhkan hukuman penjara selama 37 tahun terhadapnya mendakwa lelaki itu atas kesalahan merogol, menyerang secara seksual dan menculik.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya