LONDON: Lagu hit antarabangsa, Dance Monkey menjadi lagu paling popular dalam aplikasi muzik Apple, Shazam pada tahun ini.
Lapor CNN, lagu nyanyian Tones and I atau nama sebenarnya, Toni Watson didapati sudah dimainkan sebanyak 36.6 juta kali dalam aplikasi pengenalan muzik berkenaan.
Lagu single kedua daripada mini album Watson berjudul The Kids Are Coming yang dikeluarkan pada Mei tahun lalu itu mengalahkan pemegang rekod terdahulu, Wake Me Up nyanyian DJ popular Sweden, Avicii.
Lagu tersebut berjaya menduduki tangga teratas di lebih 30 negara biarpun bermula pada kedudukan 96 dalam carta Billboard Hot 100.
Menurut Billboard, ketika Dance Monkey menduduki senarai lima teratas, ia menjadi lagu Hot 100 pertama ditulis oleh seorang wanita yang memasuki kedudukan tersebut dalam tempoh lebih lapan tahun.
Meskipun lagu hit antarabangsa itu menarik dan menyeronokkan untuk didengar, ia sebenarnya dihasilkan daripada perasaan kecewa Watson ketika dia menjadi busker di tempat kelahirannya, Mount Martha, Australia.
“Lagu tersebut ditulis ketika saya berasa kecewa mengenai orang yang sudah hilang pertimbangan dan kesabaran,” katanya.
Sejak itu, Watson menjadi terkenal kerana video muzik Dance Monkey berjaya meraih lebih satu bilion tontonan.