JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang pemimpin kanan kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) kerana didakwa menjadi dalang insiden pengeboman di Bali pada 2002.
Jurucakap polis, Argo Yuwono berkata, Zulkarnaen, 57, ditahan di Lampung di kepulauan Sumatera pada Khamis lalu selepas menjadi buruan pihak berkuasa selama 18 tahun.
Jelas Argo, lelaki itu kini disoal siasat dan pasukan anti keganasan menyerbu kediamannya untuk mencari bahan bukti.
Zulkarnaean menjadi individu paling dikehendaki di negara ini sejak insiden pengeboman Bali yang meragut sekurang-kurangnya 202 nyawa.
“Dia merupakan pemimpin tentera JI ketika insiden tersebut berlaku,” kata Argo.
Selain itu, JI juga dipercayai terlibat dalam insiden pengebom bunuh diri di Hotel Marriott, Jakarta pada 2003 yang mengorbankan 12 orang.
Lelaki itu juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan mana-mana pihak ditawarkan AS$5 juta (RM20.2 juta) sebagai ganjaran jika dapat menyalurkan maklumat mengenainya. – AFP