JAKARTA: Ketua Komisi Pencegahan Rasuah (KPK), Firli Bahuri mahu pelaku rasuah berhubung pengendalian program bantuan sosial menangani pandemik Covid-19 dihukum mati.
Lapor CNN Indonesia, permintaan itu disuarakan sejak Julai lalu dan beliau memberi amaran berhubung tindak balas jenayah rasuah itu semasa pandemik berlaku.
“Ini bukan perkara main-main. Saya minta kalau ada yang tertangkap nanti, biar diancam hukuman mati,” katanya.
Ancaman hukuman mati kepada pelaku rasuah terkandung dalam Artikel 2 Perenggan (2) Akta Rasuah.
Menerusi artikel itu, hukuman mati boleh dikenakan sekiranya rasuah berlaku semasa bencana kebangsaan yang menyebabkan negara menghadapi krisis kewangan serta ekonomi.
Bagi mengelakkan rasuah daripada peruntukan pandemik itu, Firli menubuhkan 15 unit pegawai petugas khas.
“Tugasnya adalah melakukan kajian, memberikan cadangan kepada kementerian supaya menambah baik sistem peruntukan bajet, program sehingga seluruh perbelanjaan dipertanggungjawabkan secara telus,” ujar Firli.
Terdahulu, Menteri Sosial, Juliari P Batubara bersama empat yang lain ditahan kerana menerima suapan bernilai 17 bilion rupiah (RM4.9 juta) dari dua pakej bantuan sosial Covid-19.