Covid-19 bukan yang terakhir - Utusan Malaysia

Covid-19 bukan yang terakhir

KEADAAN jalan utama di London yang lengang selepas kerajaan Britain melaksanakan perintah berkurung susulan kemunculan varian baharu Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Krisis koronavirus tidak akan menjadi pandemik terakhir yang muncul di muka bumi dan usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia bakal berdepan ‘kehancuran’ jika masalah perubahan iklim dan kebajikan haiwan tidak dijaga.

Amaran itu diungkapkan oleh Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus yang turut mengecam tindakan kebanyakan negara ketika ini yang sanggup mengeluarkan berbilion dolar duit bagi menghadapi pandemik Covid-19 namun tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi krisis lain pada masa akan datang.

TEDROS ADHANOM GHEBREYESUS

Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video sempena Hari Kesediaan Wabak Antarabangsa.

Sehubungan itu, Ghebreyesus menegaskan sudah tiba masanya untuk semua pihak mengambil iktibar dari pandemik Covid-19.

“Dalam tempoh yang terlalu lama, dunia ‘beroperasi’ dalam pusingan yang penuh cemas dan pengabaian.

“Kita keluarkan duit untuk kawal Covid-19 dan apabila ia sudah berakhir, kita akan lupakannya dan tidak berbuat apa-apa untuk berdepan dengan krisis lain. Secara jujurnya, situasi ini amat sukar untuk difahami,” katanya.

Laporan tahunan pertama Lembaga Pemantau Kesediaan Global yang dikeluarkan pada tahun lalu mengenai kesediaan dunia berdepan dengan kecemasan kesihatan menyatakan bahawa dunia sebenarnya tidak cukup bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pandemik.

“Sejarah memberitahu kita bahawa pandemik Covid-19 bukanlah krisis terakhir yang akan muncul di dunia dan wabak penyakit merupakan satu fakta kehidupan.

“Pandemik membuka ruang untuk penduduk memahami kaitan antara kesihatan manusia, haiwan dan bumi,” ujarnya.

Tegas Ghebreyesus, sebarang usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan manusia hanya sia-sia jika isu kritikal seperti perubahan iklim tidak diatasi yang boleh membuatkan bumi kita menjadi semakin kurang ‘sesuai dihuni’.

 

Dunia jadi tunggang terbalik

Koronavirus menyaksikan sekurang-kurangnya 1.75 juta penduduk dunia terkorban dan hampir 80 juta kes sudah direkodkan sejak wabak itu bermula di China pada Disember tahun lalu.

Jelas Ghebreyesus, dunia menjadi tunggang terbalik sejak 12 bulan lalu dan kesan pandemik Covid-19 sudah menjadi lagi dahsyat berbanding virus yang tersebar.

Namun, bekas Menteri Kesihatan Ethiopia itu menyatakan krisis Covid-19 bukanlah satu situasi yang mengejutkan, malah sudah diberi amaran berkali-kali sebelum ini.

“Kita perlu belajar dari pandemik yang berlaku ketika ini supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama,” ujarnya.

 

Pelaburan yang tepat

Semua negara perlu melabur dalam kapasiti kesediaan untuk mencegah, mengesan dan mengurangkan pelbagai krisis kecemasan dan mendesak penyediaan penjagaan kesihatan yang lebih kukuh.

Ghebreyesus memaklumkan menerusi pelaburan dalam kesihatan umum, pelbagai pihak boleh memastikan generasi akan datang dapat mewarisi dunia yang lebih selamat, berdaya tahan dan lestari.

Hari Kesediaan Wabak Antarabangsa diperkenalkan menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempromosi kepentingan pencegahan, kesediaan dan kerjasama dalam berdepan epidemik. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya