SYDNEY: Ahli konservator di Perpustakaan Negara Australia menemukan sebuah kotak coklat tertua di dunia dipercayai berusia 120 tahun dari era Perang Boer.
Lapor ABC News, tin coklat itu ditemukan di dalam kotak peribadi milik penyair Australia, Andrew Barton Paterson yang juga dikenali sebagai `Banjo’.
Coklat itu bukan sahaja tidak ‘disentuh’ selama lebih seabad malah masih kelihatan baik dan cukup enak untuk dimakan.
Coklat itu yang terdiri daripada enam keping, ditemukan dalam keadaan masih dibungkus dengan kertas aluminium dan jerami lama.
Penemuan itu mengejutkan para pekerja di makmal perpustakaan tersebut yang tidak menyangka Banjo menyimpan coklat berkenaan bersama kertas puisi, diari dan keratan akhbar miliknya.
“Ada bau yang cukup menarik ketika mereka membuka kotak tersebut.
“Sebuah tin coklat lama milik Banjo ditemui dengan coklatnya masih dalam keadaan dibungkus,” kata ahli konservator Perpustakaan Negara Australia, Jennifer Todd.
Satu teori mendedahkan Banjo menyimpan tin coklat sebagai kenangan dari Ratu Victoria bagi memberi keselesaan kepada pasukan tentera Perang Boer pada awal abad baharu.