BEIJING: Sebuah kapal angkasa lepas China memulakan kerja-kerja penggerudian di bulan selepas beberapa jam melakukan pendaratan di permukaan itu.
Usaha itu dilihat sebagai percubaan untuk membawa pulang sampel pertama dari bulan dalam tempoh empat dekad.
Beijing membelanjakan berbilion-bilion dolar ke atas program angkasa kendalian pasukan tenteranya dengan harapan dapat menubuhkan stesen angkasa lepas menjelang 2022 selain berhasrat untuk menghantar manusia ke bulan.
Menurut Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China, kapal dinamakan Chang’e-5 berjaya mendarat di satu bahagian di bulan dan kini sedang mengumpul sampel dari permukaan.
Misi Chang’e-5 adalah bagi mendapatkan sampel batu-batan bulan dan tanahnya untuk membantu saintis mengkaji asal usul bulan, pembentukan dan aktiviti gunung berapi di permukaannya.
Sekiranya misi itu berjaya, China akan menjadi satu-satunya negara ketiga yang mendapatkan sampel dari bulan, disusuli Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Soviet pada 1960 dan 1970-an.
Misi itu adalah percubaan pertama membawa pulang sampel dari bulan sejak kali terakhir Kesatuan Soviet melakukannya pada 1976.
Dalam pada itu, agensi berita rasmi Xinhua menggambarkan misi itu sebagai salah satu paling sukar dan mencabar pernah dilakukan oleh China setakat ini.
Kapal angkasa yang dilancarkan dari wilayah pulau selatan Hainan pada minggu lalu, berjaya memasuki orbit bulan Sabtu lalu, selepas menempuh perjalanan selama 112 jam. – AFP