MOSCOW: Seorang wanita maut akibat terkena renjatan elektrik selepas telefon pintar yang dicas terjatuh dalam tab ketika dia mandi.
Lapor Mirror, Olesya Semenova, 24, ditemukan dalam keadaan terlentang oleh rakan serumahnya di kediamannya di Arkhangelsk, Rusia.
Rakannya, Daria kemudian menghubungi pasukan kecemasan dengan segera.
“Saya menjerit dan menggerakkan badannya tetapi dia kelihatan pucat, tidak bernafas serta tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda masih hidup.
“Saya berasa takut, ketika menyentuh Semenova, saya juga merasai renjatan elektrik. Sebuah telefon pintar turut ditemukan di dalam air dan ia sedang dicas,” katanya kepada pasukan kecemasan.
Paramedik mengesahkan Semenova yang bekerja di sebuah kedai pakaian, meninggal dunia di bilik air dan iPhone 8 miliknya terjatuh ke dalam tab mandi ketika ia masih tersambung ke suis elektrik.
Dalam pada itu, Kementerian Kecemasan Rusia mengeluarkan amaran untuk mengingatkan penduduk supaya tidak mengecas telefon ketika mandi.
“Tragedi ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa air dan peralatan elektrik yang masih disambung ke suis elektrik boleh mendatang akibat yang sangat teruk termasuk kematian,” jelas kementerian tersebut.