SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam beberapa siri kes penipuan dalam talian, kata polis.
Menurut polis dalam satu kenyataan, seorang wakil platform penghantaran dalam talian memfailkan laporan pada 16 November lalu mendakwa suspek tersebut menyamar sebagai wakil dari dua syarikat berbeza pada dua majlis yang berlainan.
Jelas polis, suspek melakukan 884 tempahan palsu yang bernilai lebih S$172,000 (RM523,162) daripada platform itu antara Januari dan Ogos, namun tidak membuat sebarang bayaran untuk tempahan dihantar.
Polis juga menerima satu lagi laporan pada 30 Nov yang mendakwa suspek memperdayakan seorang mangsa menerusi sebuah platform e-dagang untuk menghantar pakaian mewah bernilai S$3,000 (RM9,124) tanpa melakukan bayaran.
Kata polis, lelaki itu berjaya ditahan semalam.
Tambahnya, barangan dan pakaian mewah bernilai lebih S$8,000 (RM24,333) turut dirampas daripada suspek.
Hasil jenyaah kira-kira berjumlah S$2,500 (RM7,604) turut dirampas dari akaun bank milik suspek.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu atas kesalahan menipu yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. – AGENSI.