NEW YORK: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan timbalannya, Kamala Harris dinamakan sebagai ‘Individu Pilihan 2020’ oleh majalah Time berikutan kemenangan mereka dalam pilihan raya presiden pada bulan lalu.
Menurut majalah tersebut, pemilihan itu dibuat berdasarkan perjuangan kedua-dua pemimpin itu untuk mengubah ‘cerita’ AS, selain ingin menunjukkan kekuatan empati adalah lebih hebat berbanding kekacauan akibat perpecahan penduduk dan berkongsi visi yang sama bagi memulihkan negara.
Kulit depan majalah tersebut juga menampilkan portret Biden, 78, dan Harris, 56, dengan keterangan bertulis ‘Mengubah Kisah Amerika’.
Biden memperoleh sebanyak 306 undi elektoral dalam pilihan raya lalu, mengalahkan Trump yang mendapat 232 undian.
Sacara kasarnya, Biden mendapat kira-kira tujuh juta undian berbanding Trump yang sehingga kini masih belum mengalah dengan keputusan tersebut.
Dalam pada itu, ketika ditanya Time apa yang beliau harapkan dari rakyat selepas empat tahun pentadbirannya, Biden menjawab ‘Amerika menjadi lebih baik, rakyat negara ini juga menjadi lebih baik berbanding sebelum ini’.
Selain itu, Time juga menobatkan bintang bola keranjang, LeBron James sebagai atlet terbaik tahun ini, manakala kumpulan K-Pop BTS dinamakan Penghibur Terbaik 2020.
Trump pernah memenangi gelaran individu terbaik keluaran majalah tersebut pada 2016. – AFP