MICHIGAN: Sepasang suami isteri dari Chicago menyumbangkan ratusan bungkusan makanan kepada golongan yang memerlukan selepas mereka membatalkan majlis resepsi perkahwinan.
Lapor CNN, Emily Bugg dan Billy Lewis pada awalnya bercadang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan yang besar namun terpaksa melupakan hasrat itu disebabkan pandemik Covid-19.
Pasangan itu melangsungkan perkahwinan mereka pada bulan lalu dalam satu majlis yang ringkas dengan hanya dihadiri oleh seorang jurugambar.
Namun, pasangan itu masih mempunyai wang deposit katering sebanyak AS$ 5,000 (RM20,367) yang bayarannya sudah dilakukan.
Oleh itu, mereka meminta syarikat penyedia makanan tersebut menyediakan makan malam sambutan Hari Thanksgiving untuk disumbangkan kepada 200 pesakit mental serius dan penagih dadah di pusat pemulihan.
Bugg yang bekerja di pusat pemulihan tersebut menyifatkan tindakan membatalkan resepsi perlahwinan bukanlah satu keputusan yang teruk.
“Kami bersyukur sudah berkahwin malah amat gembira dapat menyumbangkan makanan kepada penghuni pusat pemulihan,” katanya.
Sementara itu, Heidi Moorman Coudal yang memiliki Big Delicious Planet berkata, kebanyakan pasangan biasanya akan meminta wang mereka dikembalikan jika majlis perkahwinan dibatalkan atau ditunda ke tarikh yang lain.