WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menyekat import produk kapas dari wilayah Xinjiang yang didakwa dihasilkan menerusi kegiatan buruh paksa.
Beijing dikritik hebat oleh komuniti antarabangsa mengenai pelaksanaan beberapa dasar di wilayah itu yang kaya dengan hasil sumber.
Kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa sejuta penduduk etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di wilayah tersebut.
Undang-undang baharu itu membenarkan pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) menyekat kapal yang mengandungi kapas dari Xinjiang Production and Construction Corps (XPCC).
“Rakyat AS tidak sesekali akan bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di wilayah itu.
“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri akan menguatkuasakan undang-undang dengan memastikan pelanggar hak asasi manusia termasuk ahli perniagaan AS tidak memanipulasi sistem kami untuk meraih keuntungan daripada buruh paksa,” kata pegawai kanan DHS, Ken Cuccinelli. – AFP