AS luluskan penggunaan vaksin Covid-19 Moderna - Utusan Malaysia

AS luluskan penggunaan vaksin Covid-19 Moderna

MIKE PENCE, antara pemimpin kanan Amerika Syarikat menerima suntikan vaksin Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi, Moderna.

Langkah itu sekali gus membolehkan enam juta dos vaksin kedua yang diluluskan untuk kegunaan tersebut, diagihkan ke seluruh negara.

Ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Stephen Hahn berkata, pihaknya mengambil langkah sewajarnya untuk menangani wabak yang membawa maut itu. 

“Kini dengan ketersediaan dua vaksin ini untuk mencegah Covid-19, kami mengambil satu lagi langkah yang amat penting dalam usaha memerangi pandemik global tersebut,” katanya.   

Sebelum ini, AS meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan BioNtech.

Presiden AS, Donald Trump menerusi satu ciapan di Twitter mengucapkan tahniah atas berita kelulusan vaksin kedua itu bagi tujuan penggunaan kecemasan.

“Tahniah saya ucapkan, kini vaksin Covid-19 dihasilkan oleh Moderna sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden AS, Mike Pence dan isterinya menerima suntikan vaksin Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen bagi menyakinkan rakyat bahawa vaksin itu selamat.

“Keyakinan terhadap vaksin inilah yang membawa saya ke sini hari ini. Oleh itu, rakyat Amerika boleh percaya kita ada dua vaksin yang selamat,” katanya selepas vaksinasi tersebut.

Pence yang juga pemimpin kanan terawal mendapat vaksin Covid-19, menyifatkan program vaksinasi itu sebagai harapan, dengan 20 juta dos dijangka diedarkan ke seluruh negara sebelum akhir bulan ini manakala 100 juta lagi diagihkan tempoh separuh pertama 2021.

Sementara itu, Trump dilaporkan setakat ini tiada perancangan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

“Beliau hanya akan menerima vaksin sebaik sahaja pasukan perubatannya menentukan yang terbaik, tetapi keutamaannya diberikan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.    

Presiden AS yang dipilih, Joe Biden pula mengumumkan akan mengambil suntikan vaksin Covid-19 secara terbuka dalam masa terdekat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya