SANTIAGO: Pandemik Covid-19 akhirnya melanda semua benua termasuk Antartika yang sebelum ini kekal sebagai satu-satunya benua bebas daripada jangkitan virus membawa maut itu.
Pihak berkuasa Chile memaklumkan sekurang-kurangnya 58 orang yang berada di dua pangkalan tentera di Antartika atau di kapal tentera laut yang ke benua itu, didapati positif jangkitan koronavirus baharu.
Setakat ini, tiada mana-mana negara yang pernah ke Antartika tampil secara terbuka melaporkan kes jangkitan.
Menurut tentera Chile, sebanyak 36 orang di pangkalan Antartika Jeneral Bernardo O’ Higgins Riquelme disahkan positif jangkitan virus tersebut.
Menteri Kesihatan wilayah Biobio di Chile memberitahu, terdapat 21 kes jangkitan membabitkan orang di dalam kapal tentera laut Chile, Sarjan Aldea.
Setiausaha kesihatan wilayah bagi kawasan Magallanes, Eduardo Castillo berkata, satu lagi kes dilaporkan berlaku di kampung Las Estrellas yang merupakan tempat tinggal kakitangan awam yang bekerja di Pangkalan Tentera Udara Leftenan Rodolfo Marsh Martin.
Katanya, kapal Sarjan Aldea berlabuh di perkampungan tersebut.
Jelas tentera, kumpulan pertama terdiri daripada 36 orang termasuk 26 anggota tentera dan 10 pekerja awam dari syarikat kontrak penyelenggaraan.
Tambahnya, setakat ini, kesemua individu belum menunjukkan sebarang komplikasi.
Setiausaha Eksekutif Majlis Pengurus Program Antartika Nasional, Michelle Rogan-Finnemore berkata, pihaknya menerima laporan dari Institut Antartika Chile berhubung kes positif yang dikesan di kapal Sarjan Aldea yang mungkin berlabuh di pelabuhan Punta Arenas dan Talcahuano di daratan Chile. – AGENSI