WASHINGTON: Seorang wanita dari Connecticut terkejut selepas mendapati anak lelakinya yang berusia enam tahun menggunakan kad kreditnya untuk membelanjakan AS$16,000 (RM64,760) semata-mata untuk membeli permainan video di telefon pintar selama beberapa bulan.
Lapor Oddity Central, Jessica Johnson, 41, yang merupakan broker hartanah dari Wilton, Connecticut, hanya mendapat tahu perkara itu pada Julai lalu bahawa sejumlah besar wangnya dipotong menerusi akaun Chase Apple dan PayPal.
Dengan menganggapnya sebagai satu kesilapan atau penipuan, wanita terbabit bertindak menghubungi bank dan memfailkan aduan penipuan pada Julai lalu.
Jelasnya, pada ketika itu, caj kad kreditnya sudah mencecah sebanyak AS$16,293.10 (RM65,944) namun pihak bank memaklumkan caj tersebut adalah sah dan meminta dia untuk menghubungi Apple.
Johnson hanya menyedari wang tersebut dibelanjakan oleh anaknya selepas menghubungi Apple dan melihat senarai caj kad kredit.
“Malangnya, tiada apa-apa yang boleh saya lakukan mengenainya kerana sudah terlambat.
“Malah, Apple juga enggan memulang wang kerana tidak membuat aduan dalam tempoh 60 hari bayaran,” katanya kepada New York Post.
Jelas Johnson, dia dan suaminya juga gagal menetapkan sebarang langkah keselamatan pada akaunnya sehingga membolehkan anaknya, George mengakses kad kredit yang dipautkan dengan telefon bimbit untuk membeli permainan video kegemarannya, Sonic Forces.