WASHINGTON: Seramai enam orang meninggal dunia dalam fasa percubaan vaksin Pfizer/BioNTech Covid-19 hanya beberapa jam selepas Britain menjadi negara pertama dunia menggunakan vaksin itu.
Lapor The New Daily.com, perkara itu didedahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) yang menjelaskan kes kematian itu tidak menimbulkan isu keselamatan atau persoalan baharu mengenai keberkesanan vaksin kerana ia berlaku ke atas populasi umum pada kadar sama.
Laporan setebal 53 muka surat itu merupakan analisis pertama secara mendalam mengenai percubaan vaksin oleh Pfizer dan BioNTech yang menemui 95 peratus keberkesanan vaksin dalam membendung penularan jangkitan Covid-19.
Dokumen sama turut mendedahkan dua penerima vaksin percubaan itu meninggal dunia sementara empat yang lain mati ketika berada di peringkat plasebo.
“Semua kematian itu mewakili kadar populasi umum dan peringkat kumpulan umur di mana ia berlaku pada kadar sama,” katanya.
Laporan itu turut mengesahkan vaksin seperti dilaporkan Pfizer 95 peratus lebih berkesan sekurang-kurangnya selepas suntikan kedua.
Data menunjukkan vaksin terbukti berkesan sebanyak 52 peratus selepas suntikan dos pertama.
Laporan itu menyimpulkan keberkesanan vaksin menepati jangkaan FDA bagi kebenaran kegunaan semasa kecemasan.
Bagaimanapun data itu masih tidak mencukupi untuk merumuskan sejauh mana vaksin itu selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, wanita hamil dan individu yang mempunyai gangguan sistem imun.
Hujung minggu ini, panel saintis bebas akan menilai laporan FDA sebelum mengesyorkan sama ada mereka yang berusia 16 tahun ke atas disyorkan menerima vaksin terbabit.
FDA mengatakan keputusan itu menunjukkan titik keberkesanan yang sama antara kumpulan umur, jantina, kaum dan etnik dan peserta dengan komorbiditi perubatan yang berkaitan dengan risiko tinggi Covid-19.