CALIFORNIA: Sebahagian besar penduduk di California berdepan dengan sekatan baharu Covid-19 yang lebih ketat selepas kes jangkitan di negeri ini meningkat secara mendadak.
Arahan ‘duduk di rumah’ yang dikeluarkan pihak berkuasa California melibatkan kira-kira 85 peratus penduduknya atau bersamaan 33 juta orang.
Perintah berkurung itu juga menyaksikan banyak perniagaan akan ditutup dan orang ramai dilarang berhimpun di luar rumah.
Ketika ini, jumlah pesakit di semua hospital California semakin padat dengan kebanyakannya dimasukkan akibat Covid-19.
Dianggarkan 101,487 orang dimasukkan ke hospital di seluruh Amerika Syarikat (AS) sehingga semalam dengan Califorbia mencatatkan sebanyak 30,000 kes jangkitan.
Perintah berkurung di negeri ini akan dilaksanakan selama tiga minggu sehingga kapasiti unit rawatan rapi di kebanyakan hospital berada pada tahap atas 15 peratus. – AGENSI