MOSCOW: Seramai 30 orang dilaporkan mengalami keracunan selepas mandi di dalam sebuah kolam renang yang mempunyai kandungan klorin yang sangat tinggi.
Keracunan itu didakwa berpunca selepas sebanyak 250 kali ganda klorin dilepaskan ke dalam kolam renang tersebut.
Lapor Daily Mail, kebanyakan mangsa dimasukkan ke hospital termasuk 21 kanak-kanak sekolah dalam kejadian yang berlaku di Astrakhan di selatan Rusia.
Jurucakap gabenor wilayah itu, Anastasia Krotova berkata, ketika ini enam mangsa diletakkan di bawah jagaan intensif kerana kritikal dan bergantung kepada sokongan oksigen.
Katanya, mangsa mengalami kesukaran bernafas dan masalah di bahagian mata.
Beberapa laporan yang memetik pihak berkuasa menyatakan kesilapan tersebut dilakukan oleh tukang cuci kompleks kolam renang itu sehingga menyebabkan insiden keracunan.
Rakaman video menunjukkan sekumpulan petugas memakai sut hazmat dan alat pernafasan untuk mengambil bacaan klorin di kolam renang tersebut.
Sehubungan itu, kolam renang tersebut ditutup kepada umum dan polis membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.