CHITTAGONG: Bangladesh memindahkan kira-kira 1,600 pelarian etnik Rohingya ke sebuah pulau tidak berpenghuni, Bhashan Char dalam fasa pertama hari ini.
Dhaka sebelum ini memaklumkan sebanyak 100,000 pelarian akan dipindah ke pulau tersebut bagi mengurangkan kesesakan di kem-kem pelarian di negara ini.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia memaklumkan kebanyakan pelarian Rohingya yang dipindahkan dalam fasa pertama ini mungkin ‘dipaksa’ untuk melakukan demikian.
Seorang daripada pelarian Rohingya, Sufia Khatun, 60, memberitahu pihak berkuasa Bangladesh memukul anaknya untuk memaksa dia bersetuju dipindahkan ke Bhashan Char.
“Mereka pukul anak saya tanpa belas kasihan sehingga kesemia giginya tercabut supaya anak saya bersetuju dipindahkan,” katanya.
Namun, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘penipuan yang besar’ dan memaklumkan semua kemudahan yang disediakan di pulau tersebut adalah lebih baik berbanding di kem-kem pelarian. – AFP