Trump calar sistem demokrasi - Utusan Malaysia

Trump calar sistem demokrasi

KEDEGILAN Trump hanya membuat sistem demokrasi dunia semakin goyah dan tidak telus. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sudah lama memperjuangkan sistem demokrasi yang adil dan utuh di seluruh dunia, termasuk menekankan untuk mana-mana pemimpin agar melepaskan kuasa sekiranya mereka kalah dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan kerana kuasa pemilih ada pada rakyat.

Namun, Presiden AS ketika ini, Donald Trump dilihat sebagai model Amerika baharu apabila beliau terus enggan mengaku kalah, membuat tuntutan mahkamah yang tidak berasas dan menyeru sekutunya untuk menyokongnya menolak kemenangan yang diraih Joe Biden.

Sikap Trump itu secara tidak langsung meruntuhkan perjuangan demokrasi yang diwar-warkan oleh AS selama ini.

Banyak pihak lahirkan kebimbangan

Segelintir pakar politik antarabangsa yang ditemu bual oleh AFP di beberapa negara melahirkan kebimbangan mengenai kedegilan Trump boleh mencetuskan ‘kerapuhan’ dalam sistem demokrasi dunia, terutamanya di Afrika.

“Keengganan Trump mengaku kalah dalam pilihan raya presiden AS yang lepas memberi gambaran kepada barisan pemimpin di Afrika untuk melakukan perkara yang sama jika mereka juga alami kekalahan,” kata Setiausaha Agung parti pembangkang iaitu Parti Kebebasan dan Pembangunan, Mahamat Ahmat di Chad.

Saintis politik di Universiti Zimbabwe, Eldred Masunungure pula menyifatkan Trump seperti ‘memberi jalan kepada gaya kepemimpinan autokrasi’.

“Apa yang berlaku terhadap Trump ketika ini boleh dikatakan sebagai satu tragedi. kami sudah biasa dengan senario itu (tidak mengaku kalah dalam pilihan raya) di Afrika, namun apabila ia berlaku di AS, kami terkejut.

“Trump tunjukkan contoh yang tidak baik kepada barisan pemimpin kami, terutamanya dalam jangka panjang apabila mereka enggan menerima kekalahan,” katanya.

Selain itu, pengkritik tegar Presiden Rusia, Vladimir Putin iaitu Garry Kasparov pula berpandangan sikap Trump hanya menyebabkan lebih banyak masala sama akan timbul dalam pilihan raya akan datang, sama ada di AS atau di negara lain.

“Demokrasi tercalar dan itu menjadi ‘impian’ Putin,” ciapnya dalam Twitter.

Seorang lagi pakar politik, Thomas Carothers memaklumkan Rusia, China dan Mesir pasti akan cuba ‘mendapatkan tip’ dari Trump tentang bagaimana untuk menolak kekalahan dalam pilihan raya.

Katanya, keadaan boleh menjadi semakin teruk dalam demokrasi yang bermasalah kerana para pemimpin akan menjadikan Trump sebagai ‘contoh’ untuk terus berkuasa biarpun kekalahan yang dialaminya adalah jelas.

“Banyak negara di seluruh dunia merujuk AS dan apa yang berlaku ketika ini juga disaksikan oleh pelbagai pihak, termasuk kelantangan Trump yang mendakwa media arus perdana melaporkan berita palsu.

“Istilah ‘berita palsu’ itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pemimpin yang sering berasa tergugat dengan laporan media,” jelasnya.

 

Trump main golf ketika Sidang Kemuncak G20

 

TRUMP dilihat bermain golf di Virginia, Amerika Syarikat selepas membuat kemunculan seketika dalam Sidang Kemuncak G20. – AFP

Sementara itu, Trump dilaporkan meluangkan masa bermain golf di Virginia selepas membuat kemunculan seketika secara dalam talian semasa Sidang Kemuncak G20 berlangsung semalam.

Menurut sumber, Trump memaklumkan bahawa beliau sudah melakukan yang terbaik sepanjang penggal pentadbirannya, termasuk dalam sektor ekonomi dan pandemik Covid-19.

“Adalah menjadi satu penghargaan untuk bekerjasama dengan anda semua dan saya berharap kita boleh meneruskan apa yang dirancang pada masa akan datang,” katanya.

Selepas itu, Trump diganti pula dengan Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan dia meninggalkan White House untuk bermain golf di Virginia. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya