WASHINGTON: Selepas beberapa minggu enggan menyerah kalah, Presiden Donald Trump akhirnya mula mengalah apabila membenarkan para pegawai White House memulakan proses peralihan kuasa bagi membolehkan Joe Biden menyusun pentadbiran baharu.
Presiden AS itu mengakui sudah tiba masanya Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) ‘melakukan apa yang sepatutnya dilakukan’.
Namun, pemimpin berusia 74 tahun itu masih belum mengalah sepenuhnya apabila menegaskan beliau akan meneruskan perjuangannya tanpa putus asa.
“Kes kami tetap diteruskan, kami akan terus berjuang dan saya yakin akan menang,” ciapnya dalam Twitter.
Ini bermakna pasukan Biden kini bakal mempunyai akses terhadap dana, ruang pejabat di White House dan boleh pertemuan serta mengadakan taklimat dengan barisan pegawai kerajaan AS.
Sebelum ini, pejabat Biden memaklumkan GSA bersedia untuk memberi ‘sokongan’ yang diperlukan bagi melaksanakan proses peralihan kuasa dengan lancar dan aman.
“Pada masa akan datang, barisan kepemimpinan Biden akan mula bertemu dengan pegawai kerajaan untuk membincangkan isu Covid-19, keselamatan negara dan memahami sepenuhnya usaha yang dilakukan oleh pentadbiran Trump sebelum ini bagi membentuk pentadbiran baharu,” kata Yohannes Abraham dalam satu kenyataan.
Abraham merupakan Pengarah Pasukan Peralihan Kuasa Biden.
Terdahulu, Biden mengumumkan barisan kabinet pentadbiran baharu antaranya melantik bekas pegawai kedua tertinggi Jabatan Negara, Anthony Blinken sebagai Setiausaha Negara AS.
Selain itu, Biden juga melantik Avril Haines sebagai Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), sekali gus menjadi wanita pertama yang menjawat jawatan tersebut.
Janet Yeelen pula dilantik sebagai Setiausaha Perbendaharaan wanita pertama dan Alejandro Mayorkas sebagai Ketua Keselamatan Dalam Negeri. – AFP