JAKARTA: Dua selebriti wanita Indonesia yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran secara dalam talian, didapati dibayar sebanyak 60 juta rupiah (RM17,348).
Lapor Tribunnews, Ketua Polis Jakarta Utara, Komisioner Sudjarwoko mendedahkan, personaliti media sosial dan pelakon drama yang masing-masing dikenali sebagai ST serta SH itu ditahan ketika sedang melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunter.
“Ketika ditahan, kedua wanita itu melakukan kegiatan tidak bermoral dengan lelaki tersebut,” katanya dalam sidang akhbar.
Jelas Sudjarwoko, seorang lagi individu dipercayai berperanan sebagai bapa ayam menetapkan bayaran sebanyak 110 juta rupiah (RM31,805) bagi kegiatan pelacuran itu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, ST dan SH masing-masing menerima bayaran 30 juta rupiah (RM8,674) manakala baki 50 juta rupiah (RM14,457) akan dibayar kepada dua individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan.
Jelas beliau, siasatan mendapati lelaki tersebut telah melakukan bayaran pendahuluan sebanyak 60 juta rupiah.
“Berdasarkan perjanjian dibuat, selebihnya iaitu 50 juta rupiah akan dibayar setelah selesai kegiatan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, motif kedua artis berkenaan terlibat dalam kegiatan pelacuran tersebut adalah disebabkan tekanan ekonomi.
Dalam pada itu, Sudjarwoko berkata, artis tersebut kini tidak lagi ditahan dan sudah dibenarkan pulang sejak kelmarin.
“Sudah dibenarkan pulang Khamis lalu kerana mereka sebagai saksi. Kami hanya mempunyai kuasa untuk menahan selama 24 jam sahaja,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk memanggil semula kedua artis itu untuk siasatan lanjut.
“Jika dapat bukti lain, kita akan menahan mereka sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, lapor Kompas.com, menurut Sudjarwoko, dua individu lain iaitu seorang lelaki dan wanita yang dikenali sebagai AR dan CA yang ditahan dalam kes itu, dipercayai merupakan suami isteri.
Malah, katanya, keempat-empat suspek yang ditahan mengaku sudah melakukan kegiatan pelacuran secara dalam talian sejak setahun lalu.