ROM: Kisah seorang wanita yang dihiburkan oleh suaminya dengan akordion di tepi jalan di sebuah hospital di utara Emilia-Romagna sebelum ini mendapat liputan meluas daripada pelbagai media.
Namun, kelibat suami romantis itu mungkin tidak dapat dilihat lagi selepas ini apabila isterinya dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit kanser.
Carla Sacchi, 74, berpeluang bertemu suaminya, Stefano Bozzini, 81, selepas dibenarkan pulang ke rumah sebelum meninggal dunia pada minggu lalu.
Awal bulan lalu, Bozzini mengambil keputusan menghiburkan isterinya dengan bermain akordion di tepi jalan tersebut selepas pihak hospital tidak membenarkan pelawat menziarahi pesakit bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Kisah pasangan yang sudah 47 tahun berumah tangga itu menjadi tular dalam media sosial kerana Sacchi hanya mampu melihat suaminya dari tingkap di tingkat dua Hospital Castel San Giovanni yang begitu asyik memainkan lagu-lagu cinta menerusi alat muzik tersebut.
Bozzini memainkan akordion dengan lagu Spanish Eyes oleh Engelburt Humperdinck sebelum memainkan seleksi lagu kesukaan isterinya.
Bozzini memakai jaket berwarna merah, seluar hijau, topi dan pelitup muka sambil menghentakkan kakinya ketika bermain akordion dan melambai ke arah isterinya ketika di hujung persembahan.
Sementara itu, Datuk Bandar Piacenza, Patrizia Barbieri turut berkongsi gambar pasangan yang berkahwin sejak 1973 itu sebagai tanda penghargaan buat mereka.
Katanya, sikap Bozzini terhadap isterinya memberi mesej jelas tentang makna cinta antara satu sama lain.