Sokongan goyah, Trump makin besar kepala - Utusan Malaysia

Sokongan goyah, Trump makin besar kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sokongan padu yang diberikan oleh ‘orang-orang terdekat’ Donald Trump semakin goyah apabila beliau terus menolak keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020.

CNN yang memetik sumber melaporkan, isteri Trump, Melania dan menantunya, Jared Kushner sudah cuba menasihati pemimpin itu supaya menerima kenyataan bahawa beliau sudah kalah dalam pilihan raya yang diadakan.

Melania juga dilaporkan memujuk suaminya secara persendirian untuk menerima kekalahan tersebut, namun sehingga kini Trump masih ‘besar kepala’ menyatakan keputusan pilihan raya yang diperoleh ketika ini dipenuhi penipuan semata-mata.

Namun, dua anak lelaki Trump iaitu Donald Junior dan Eric menggesa semua sekutu bapanya termasuk barisan kepemimpinan Republikan supaya menolak keputusan pilihan raya berkenaan walaupun media arus perdana di negara ini sudah menjangka kemenangan berpihak kepada Biden sejak Sabtu lalu.

Pasukan kempen Trump ketika ini bertungkus-lumus ‘memperjuangkan’ penolakannya berhubung keputusan pilihan raya biarpun tidak disokong oleh sebarang bukti.

Setakat ini, tiada apa-apa bukti diperoleh untuk menunjukkan penggal kedua yang didakwa sepatutnya menjadi milik Trump ‘dicuri’  daripadanya menerusi penipuan undi di beberapa negeri taruhan utama Republikan.

 

Rancangan dedah penipuan

Pasukan kempen Trump bercadang untuk mendedahkan berlaku penipuan melibatkan pengundi yang sudah meninggal dunia, selain mempertimbangkan rancangan mengadakan perhimpunan ala berkempen bagi menyampaikan misi tersebut.

Matlamat utama rancangan tersebut bertujuan mencetuskan keraguan mengenai keputusan pilihan raya dan memberi tekanan kepada setiausaha di negeri-negeri taruhan untuk membuka siasatan yang membolehkan pengiraan semula undi dilakukan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa ahli Republikan termasuk ahli keluarga Trump bahawa orang yang sudah meninggal dunia turut ‘mengundi’ di Michigan.

Namun, dakwaan tersebut tidak disertakan dengan bukti yang kukuh.

 

Ambil tindakan undang-undang

Jurucakap kempen Trump, Jason Miller menerusi Twitter semalam menafikan bahawa Kushner sudah memujuk Trump supaya menerima kekalahannya.

“Cerita itu (Kushner pujuk Trump) tidak betul. Sebaliknya, Kushner memujuk Trump supaya menggunakan semua laluan undang-undang bagi memastikan ketepatan keputusan pilihan raya yang diadakan,” ciap Miller.

Selain itu, Trump melalui Twitter mempersoalkan sejak bila media arus perdana menentukan siapa presiden di negara ini.

Beliau merujuk pada laporan kebanyakan media sebelum ini yang meramalkan Biden memenangani pilihan raya Presiden AS.

“Saya tidak akan duduk diam sehingga rakyat negara ini memperoleh keputusan pengundian yang jujur yang mereka sewajarnya dapat, selain mengikut tuntutan demokrasi,” kata Trump dalam satu kenyataan yang memaklumkan tindakan undang-undangnya dimulakan hari ini.

Melania juga tidak mahu mengalah apabila menyokong suaminya dengan melontarkan ciapan bertulis ‘rakyat Amerika berhak mendapat pilihan raya yang adil. Setiap undi yang sah perlu dikira’.

 

Biden dan Trump tidak bertegur

Dalam pada itu, timbalan pengarah pasukan kempen Biden dan Kamala Harris, Kate Bedingfiled menyatakan tiada sebarang komunikasi dilakukan antara Trump dan Biden atau dengan mana-mana wakil dari kedua-dua parti.

 

Sokongan jangan mengalah

Beberapa ahli Republikan dilihat seolah-olah menyokong kedegilan Trump untuk tidak menerima keputusan pilihan raya.

Senator Republikan, Lidnsey Graham dari South Carolina yang merupakan antara sekutu kuat Trump menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya mengalah.

Perkara itu turut disokong Senator Texas, Ted Cruz yang menyifatkan langkah Trump untuk mengalah sebagai ‘tindakan kurang cerdik dan tidak matang’.

 

Anak-anak Trump desak terus berjuang

Dua anak lelaki Trump disifatkan sebagai ‘suara utama’ yang mendorong beliau jangan menyerah kalah dan terus berjuang mempertahankan kedudukannya.

Eric baru-baru ini memberitahu kepada semua sekutu Trump bahawa pilihan raya kali ini ‘dicuri’ dari bapanya dan berikrar untuk membantu Trump memperoleh keputusan yang sebenar.

Anak sulung Trump, Donand Junior  juga giat melobi para senator dan gabenor dari Republikan supaya mengeluarkan kenyataan menyokong bapanya dan mendesak supaya pengiraan undian dilakukan semula dengan kadar segera. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya