YANGON: Selepas hampir lima tahun tanpa ahli Parlimen beragama Islam, Myanmar memerlukan seorang pemimpin yang mampu memperjuangkan hak-hak golongan minoriti yang tertindas.
Sithu Maung berkata demikian ketika meraikan kemenangannya sebagai Ahli Parlimen Yangon.
Sithu yang berusia 33 tahun merupakan seorang daripada dua calon beragama Islam yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Myanmar mewakili parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi.
Penduduk Islam mencatatkan sekitar empat peratus daripada populasi seluruh Myanmar dan komuniti itu dilaporkan berdepan dengan diskriminasi yang tinggi.
Biarpun belum memperoleh keputusan rasmi, lelaki itu yakin kemenangan bakal menjadi miliknya selepas melihat reaksi pengundi, selain berjaya memperoleh kira-kira 80 peratus undi di kawasan parlimen Yangon.
“Penduduk melaungkan nama saya dari pangsapuri mereka ketika saya melawat kawasan tersebut dan itu adalah petunjuk mereka menyokong saya,” katanya dalam satu wawancara dengan AFP di sini.
Keputusan rasmi keseluruhan pemilihan itu dijangka tidak akan diperoleh sehingga akhir minggu ini, namun NLD yakin parti itu sudah pun memperoleh kemenangan besar. – AFP