LONDON: Taman tema Disney sering menjadi destinasi impian kebanyakan kanak-kanak di seluruh dunia, namun pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini mungkin menyaksikan tempat rekreasi itu tidak akan lagi ‘semeriah’ dahulu
Hal ini kerana, Walt Disney Co. merancang untuk membuang 32,000 pekerjanya di seluruh dunia menjelang Mac tahun depan, iaitu tambahan sebanyak 4,000 orang berbanding pengumuman sebelum ini.
Syarikat itu sebelum ini menyatakan pihaknya bakal memberhentikan kira-kira 28,000 pekerja pada September lalu.
Ketika ini, Disney mempunyai seramai 223,000 pekerja di 12 taman tema di seluruh dunia dengan lebih 100,000 kakitangan di Amerika Syarikat (AS).
Rangkaian media dan hiburan gergasi itu juga memberi amaran bahawa pihaknya mungkin terpaksa membatalkan sistem polisi syarikat pada masa akan datang, termasuk pengurangan atau menghentikan pelan perubatan persaraan.
Selain itu, syarikat tersebut turut merancang untuk menghentikan pelaburan dalam penerbitan siri rancangan televisyen dan filem, malah tidak menolak kemungkinan untuk membuang lebih ramai pekerja.
Dalam satu kenyataan, Disney mengakui langkah drastik itu memberi kesan yang besar kepada perniagaannya.
Selain itu, berita mengenai rancangan pembuangan pekerja secara besar-besaran itu dijangka menimbulkan kemarahan Senator Elizabeth Warren dan Abigail Disney.
Abigail Disney adalah cucu kepada Roy O. Disney yang merupakan pengasas syarikat tersebut bersama adiknya, Walt Disney pada 1923.
Warren sebelum ini menyifatkan keputusan Disney membuang pekerja sebelum ini sebagai ‘tidak masuk akal’, selain memberi penghargaan kepada kumpulan eksekutif dan pemegang saham menerusi pakej pampasan besar.
Pembayaran dividen dan pembelian semula saham pada tahun-tahun Disney berdepan dengan krisis merupakan antara ‘penghargaan yang terkandung dalam pakej’ berkenaan.
Dalam pada itu, kesemua taman tema Disney di Amerika Utara, Asia dan Eropah ditutup antara Mac dan Mei tahun ini.
Biarpun taman tema Disney sudah dibuka semula di Shanghai, China dan Florida, AS, cawangannya di California akan tetap ditutup sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.
Disneyland Paris pula ‘dipaksa tutup’ sekali lagi pada bulan lalu apabila Perancis melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara buat kali kedua.
Sehingga 30 September lalu, Disney merekodkan kerugian sebanyak AS$2.8 bilion (RM11.4 bilion) berbanding keuntungan berjumlah AS$10.4 bilion (RM42.3 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.