WASHINGTON: ‘Peperangan’ membendung penularan jangkitan Covid-19 masih belum selesai, namun dilihat bakal memberi sinar harapan apabila dua syarikat farmaseutikal antarabangsa mengumumkan projek vaksin yang dibangunkan mempunyai tahap keberkesanan melebihi 90 peratus untuk mencegah koronavirus.
Selepas hampir setahun wabak Covid-19 dikesan, berbilion-bilion dana dilaburkan untuk mencari jalan penyelesaian, selain puluhan ribu responden terlibat dalam ujian percubaan vaksin dalam skala besar-besaran di seluruh dunia.
Ketika dunia terus bergelut menangani ancaman Covid-19, perlumbaan menghasilkan vaksin melibatkan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa semakin menghampiri garisan penamat.
Berikut adalah senarai syarikat yang terlibat dalam penghasilan vaksin Covid-19 di seluruh dunia. – AFP/AGENSI
1) BioNTech, Pfizer dan Kumpulan Farmaseutikal Shanghai Fosun
Nama Vaksin: BNT162b2
Fasa: 3
Keterangan: Ketiga-tiga syarikat tersebut kini dalam usaha mendapatkan kelulusan pihak berkuasa bagi kegunaan kecemasan selepas kajian mendapati vaksin yang dihasilkan mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus untuk cegah jangkitan Covid-19.
2) Moderna
Nama vaksin: mRNA-1273
Fasa: 3
Keterangan: Data awal yang diperoleh berdasarkan ujian klinikal terhadap 30,000 responden menunjukkan vaksin tersebut mampu mencegah jangkitan Covid-19. Syarikat itu jangka dapat kelulusan pihak berkuasa dalam tempoh terdekat berdasarkan analisis terakhir melibatkan 151 kes dan data keselamatan selama dua bulan.
3) AstraZeneca dan Universiti Oxford
Nama vaksin: ChAdOx1nCoV-19
Fasa: 3
Keterangan: Ujian fasa akhir vaksin tersebut dimulakan kembali selepas ditangguh buat sementara waktu susulan berlaku komplikasi melibatkan responden.
4) Johnson & Johnson
Nama vaksin: JNJ-78436735
Fasa: 3
Keterangan: Ujian fasa akhir vaksin yang dihasilkan syarikat tersebut dimulakan kembali susulan seorang responden jatuh sakit selepas menerima suntikan vaksin berkenaan. Johnson & Johnson ketika ini sudah mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Eropah untuk membekalkan vaksin jika berjaya.
5) Sinopharm, China
Nama vaksin: tidak didedahkan
Fasa: 3
Keterangan: Beratus ribu orang termasuk petugas barisan hadapan sudah menerima suntikan vaksin tersebut di bawah kelulusan kecemasan pihak berkuasa. Syarikat itu kini menjalankan ujian fasa akhir di beberapa negara lain termasuk Asia Barat dan Amerika Selatan. Vaksin keluarannya dijangka berada dalam pasaran China pada penghujung 2020.
6) Sinovac Biotech, China
Nama vaksin: CoronaVac
Fasa: 3
Keterangan: Brazil menarik balik keputusan untuk menangguhkan ujian klinikal vaksin tersebut yang sudah pun mendapat kelulusan pihak berkuasa China untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan.
7) Institut Penyelidikan Gamaleya
Nama vaksin: Sputnik V
Fasa: 3
Keterangan: Syarikat tersebut mengumumkan vaksin yang dihasilkan mempunyai tahap keberkesanan setinggi 92 peratus dan keputusan ujian fasa akhir diteliti berdasarkan 20,000 responden yang menerima suntikan dos pertama, termasuk lebih 16,000 yang turut mendapat suntikan dos kedua.
8) CanSino Biologics
Nama vaksin: Ad5-nCoV
Fasa: 3
Keterangan: Ujian fasa ketiga vaksin berkenaan dijalankan terhadap 40,000 orang di Rusia, Pakistan dan beberapa negara lagi. Vaksin itu sudah pun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa China untuk digunakan dalam ketenteraan China.
Syarikat yang masih berada di fasa kedua
Selain itu, terdapat beberapa syarikat yang masih melakukan ujian klinikal fasa kedua iaitu:
– Inovio Pharmaceuticals Inc. (AS)
– Novavax Inc. (AS)
– Arcturus Therapeutics Holdings Inc., Duke-NUS Medical School )AS, Singapura)
– Sanofi, GlaxoSmithKline Plc (Perancis, AS)
Ujian klinikal fasa satu
Terdapat empat syarikat yang baru memulakan penghasilan vaksin Covid-19 iaitu:
– Merck & Co. (AS)
– Imperial College London (United Kingdom)
– Curevac (Jerman)
– Sichuan Clover Biopharmaceuticals Inc., Dynavax Technologies Corp., GlaxoSmithKline Plc. (China, AS)