Rakyat Palestin harap keamanan dari Biden - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin harap keamanan dari Biden

KANAK-KANAK perempuan Palestin mengisi air ke dalam botol di kawasan kejiranan Khan Yunis yang daif di Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Pemimpin Palestin meletakkan harapan tinggi untuk melihat hubungan negara itu dengan Washington dapat dipulihkan semula selepas pelbagai ‘kerosakan’ yang dicetuskan oleh Donald Trump.

Arab News melaporkan, bekas Datuk Bandar Baitulaham dan Ahli Dewan Kebangsaan Palestin, Vera Baboun berkata, rakyat negara itu meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan AS yang baharu berhubung soal keamanan. 

“Kami berharap Joe Biden akan memberikan reaksi positif untuk menjemput Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ke seminar antarabangsa bagi keamanan pada 2021,” katanya. 

Baboun berkata, hubungan diplomatik tahap tertinggi mesti diperbaharui segera supaya seminar akan datang boleh memberi peluang kepada Palestin untuk mengusulkan perbincangan yang substansif. 

Bakal Naib Presiden AS, Kamala Harris menegaskan pentadbiran Biden komited terhadap penyelesaian dua negara dan akan memperbaharui kontrak dengan pemimpin Palestin termasuk membuka semula misi rakyat Palestin di Washington dan misi AS di Baitulmuqaddis Timur. 

Tambahnya, AS akan memulihkan bantuan kewangan kepada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan program kemanusiaan lain bagi menyokong rakyat Palestin. 

Pengarah Pusat Perundingan Antarabangsa Haifa, Wadie Abunassar menjelaskan Biden akan membantu memulakan semula perbincangan Israel-Palestin tetapi sudah semestinya tidak akan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai sebuah negara merdeka. 

“Susah untuk melihat Biden memberi keutamaan utama kepada Israel-Palestin apabila hubungan pemimpin di kedua-dua negara masih dingin,” katanya. 

Namun, Abunassar percaya Biden akan mengambil langkah serius bagi memastikan hubungan baik dengan Israel serta mengelakkan terlampau banyak tekanan. 

Berbeza bagi bekas jurucakap Kerajaan Palestin, Jamal Dajani yang memberi amaran bahawa Biden tidak akan menjadi penyelamat kepada rakyat Palestin. 

“Saya tidak pasti sama ada Biden sebagai presiden mampu membaiki semula kerosakan yang dilakukan Trump,” jelasnya. 

Dalam keadaan pemimpin Palestin menolak sebarang usaha pembaharuan kontrak dengan Washington bagi menyambung semula hubungan keselamatan dengan Israel, sejumlah rakyat negara itu yang dihubungi berkata, mereka berharap pengunduran Trump dan pentadbiran Biden berupaya membantu menyelesaikan konflik dengan Israel. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN