JAKARTA: Seorang penjual tempe di daerah Ponorogo, jawa Timur berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dari Institut Agama Islam Sunan Giri (Insuri) di sini, pada usia 42 tahun.
Lapor Republika, Saminten akan menjual tempe di Pasar Stesen Ponorogo setiap pagi sebelum mengikuti kuliah.
“Saya mempunyai masa selama dua tahun untuk lulus pengajian dan mendapatkan ijazah sarjana muda.
“Sepanjang dua tahun itu, saya melalui pelbagai cabaran dan ternyata penat lelah selama ini berbaloi selepas saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya.
Wanita itu menceritakan dia akan bangun seawal pukul 4 pagi waktu tempatan bagi menyiapkan tempe untuk dijual di pasar.
Selepas selesai menjual tempe, dia akan bersiap sedia untuk mengajar di sebuah tadika sebelum mengikuti kuliah pembelajaran sehingga petang.
Kata Saminten, dia tidak jemu dengan rutin tersebut, malah sentiasa disokong oleh keluarga.
“Tipu jika saya cakap tidak penat, namun saya senang melakukannya demi mendapatkan segulung ijazah selain ingin berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.