JAKARTA: Sebahagian golongan pelajar menyambut baik rancangan kementerian Pendidikan dan Kebudayaan (Kemendikbud) untuk memulakan semula sesi persekolahan pada tahun depan biarpun pandemik Covid-19 masih belum reda.
Biarpun khuatir dengan keadaan semasa, golongan pelajar menyatakan pembelajaran secara langsung perlu diadakan semula, selain semua pihak diwajibkan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan.
Seorang pelajar sekolah menengah di daerah Bogor, Abyan haidar berkata, dia berasa lebih tertekan sepanjang mengikuti proses pembelajaran secara dalam talian berbanding menghadiri kelas.
Katanya, dia tidak sabar untuk ke sekolah seperti biasa meskipun perlu berdepan dengan protokol kesihatan yang ketat.
“Tidak mengapa, saya lebih rela pergi ke kelas daripada terus mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana situasi itu lebih tertekan.
“Protokol kesihatan itu memang wajib dipatuhi bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dicegah, sekali gus bebaskan dunia daripada ancaman wabak tersebut,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Jelas Abyan, dia mengikuti pembelajaran secara dalam talian selama sembilan bulan sejak sesi persekolahan dihentikan susulan Covid-19, namun sepanjang tempoh tersebut, dia tidak dapat menerima input pembelajaran sepenuhnya.
“Belajar secara online memang nampak tidak perlu ke mana-mana, hanya duduk di dalam bilik dan belajar, namun keadaan sebenar tidak seperti itu.
“Interaksi secara langsung dalam kelas lebih berkesan berbanding secara dalam talian kerana penerimaan itu lebih mudah dan jelas,” ujarnya.
Perkara sama yang dungkapkan oleh seorang lagi pelajar, Fajar Sidiq yang belajar di sebuah sekolah di daerah Cirebon, Jawa Barat.
“Saya tidak takut untuk ke sekolah walaupun pandemik Covid-19 masih melanda kerana saya yakin pihak sekolah akan mengenakan peraturan ketat bagi mencegah jangkitan.” ujarnya.
Sementara itu, Evan Clementine dari sebuah sekolah di Depok memberitahu dia bimbang jika sesi persekolahan dibuka pada tahun depan, jumlah kes jangkitan Covid-19 akan meningkat secara drastik.
Namun katanya, sesi persekolahan perlu dimulakan juga kerana kerajaan Indonesia masih belum dapat menjangka bila pandemik bakal berakhir.