RAMALLAH: Pihak berkuasa Palestin akan memulakan semula kerjasama termasuk dalam aspek keselamatan dengan Israel selepas ditangguhkan, Mei lalu.
Lapor Reuters, Menteri Hal Ehwal Sivil, Hussein Al-Sheikh berkata, hubungan dengan Israel akan kembali seperti dahulu selepas Presiden, Mahmoud Abbas mengesahkan Israel komited terhadap perjanjian masa lalu dengan rakyat Palestin.
Katanya, perjanjian damai sementara yang ditandatangani pada 1990an membayangkan pembentukan negara Palestin dengan Israel.
“Rakyat Palestin menyifatkan rancangan penggabungan di Tebing Barat iaitu wilayah yang ditawan Israel dalam perang selama enam hari, 1967 menjadikan penyelesaian dua negara mustahil dilakukan.
“Jika hubungan Israel dan Palestin dapat terjalin semula, ini akan membuka pembayaran cukai sekitar AS$890 juta (RM3.5 bilion) yang ditahan sebelum ini.
Tambah laporan terbabit, Israel mengenakan levi terhadap barangan import dari Palestin yang melalui pelabuhannya.
Malah, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengatakan keputusan untuk menyambung semula hubungan dengan Israel dibuat atas alasan untuk menghadapi krisis kesihatan.
“Antara ratusan ribu peneroka Israel yang tinggal di Tebing Barat dan puluhan ribu pekerja Palestin yang berulang-alik ke Israel setiap hari untuk bekerja, penyelarasan diperlukan untuk membantu mencegah penyebaran virus Covid-19.
“Kehidupan kita sangat saling terkait dengan penduduk Israel . Tidak mungkin kita dapat melawan virus hanya dengan diri kita sendiri,” katanya.