WASHINGTON: Pasukan kempen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggugurkan sebahagian besar tuntutan perundangan yang mendesak Pennsylvania supaya tidak mengesahkan keputusannya dalam pengiraan undian pilihan raya presiden lepas.
Menerusi pindaan aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan, pasukan kempen Trump menggugurkan dakwaan terdapat pegawai pilihan raya secara haram menyekat kumpulan pemerhati menilai proses pengiraan undi di Philadephia dan Pittsburgh.
Tuntutan perundangan pasukan kempen Trump ketika ini fokus kepada dakwaan bahawa terdapat beberapa daerah ‘bersekongkol’ dengan Parti Demokrat yang membenarkan para pengundi ‘membetulkan’ undi mereka yang secara jelas melanggar undang-undang negara ini.
Pegawai pilihan raya menegaskan bahawa pertikaian itu secara tidak langsung mempengaruhi sebilangan pengundi di Pennsylvania dengan bakal presiden baharu AS, Joe Biden dijangka memperoleh lebih 60,000 undian di negeri itu.
Pegawai pilihan raya di Pennsylvania juga meminta hakim mahkamah persekutuan supaya membatalkan tuntutan perundangan pasukan kempen Trump dengan menyatakan kumpulan pemerhati dibenarkan menilai proses pengiraan undi, selain semua daerah di negeri itu dibenarkan untuk memaklumkan kepada para pengundi jika kertas undi mereka rosak.
Biden dilaporkan memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2020 selepas media tempatan dan syarikat Edison Research mendakwa calon dari Demokrat itu mengungguli undian di Pennsylvania.
Edison juga menyatakan Biden memperoleh sebanyak 306 undian Dewan Pemilih (Electoral College), manakala Trump mendapat 232 undi.
Dalam pada itu, Trump dilihat ‘malu-malu kucing’ untuk mengiktiraf kemenangan yang diraih Biden apabila menyuarakan perkara itu menerusi Twitter.
Namun, pengiktirafan tersebut disertakan dengan penafian yang masih jelas.
“Beliau (Biden) menang kerana pilihan raya itu dipenuhi penipuan,” ciap Trump.
Tidak lama kemudian, Trump membuat pusingan ‘U’ apabila memuat naik ciapan bertulis ‘beliau hanya menang di mata MEDIA BERITA PALSU. Saya tidak akan memperakui APA-APA! Perjalanan masih jauh’.
Selepas itu, Trump sekali lagi membuat ciapan berbunyi ‘SAYA MENANG PILIHAN RAYA!’.
Pemimpin berusia 74 tahun itu juga mendakwa masih banyak tuntutan mahkamah belum dibuat berhubung keputusan pilihan raya tersebut dan beliau memaklumkan satu kes besar akan difailkan dalam tempoh terdekat.
Selain itu, beberapa pegawai Trump memaklumkan presiden itu memahami dengan jelas bahawa Biden memenangi pilihan raya tersebut, namun beliau memerlukan masa untuk ‘memproses’ kekalahannya.
Sementara itu, bekas penasihat keselamatan kebangsaan AS, John Bolton berkata, adalah lebih bagus dan penting jika kesemua ahli Republikan memujuk Trump supaya menerima kekalahannya, berbanding meneruskan usaha yang sia-sia.
“Saya tidak harap dia akan undurkan diri secara terhormat, saya cuma harap dia akan tinggalkan White House,” katanya. – AFP/REUTERS