LONDON: Pengeluar alat permainan dari Denmark, Lego akan memperkenalkan set binaan terbesar iaitu struktur Roman Colosseum yang mengandungi 9,036 kepingan pada 27 November ini.
Lapor Fox News, pengenalan set permainan baharu itu tepat pada masanya ketika England menjalani perintah berkurung selama empat minggu sehingga 2 Disember ini.
Model permainan itu yang dijangka mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan mempunyai ketinggian 26.9 sentimeter, lebar 52 sentimeter dan 58.4 sentimeter kedalaman sekali gus menjadikan set permainan lego terbesar yang pernah dihasilkan syarikat itu.
Sebelum ini, set permainan terbesar yang dihasilkan adalah set Millennium Falcon daripada Star Wars.
Struktur permainan itu didatangkan dengan landskap dan ciri-ciri yang kelihatan serupa seperti bangunan sebenar.
Bagaimanapun, pereka permainan itu, Rok Zgalin berkata, rekaan amphiteater ikonik versi Lego yang dihasilkan itu tidaklah sama sepenuhnya.
“Cabaran terbesar dan paling penting adalah menterjemahkan monumen Colosseum ke dalam bentuk Lego,” katanya.
Syarikat itu memaklumkan, mereka memasukkan tiga warna bata untuk meniru corak berlainan supaya mengikuti perincian bangunan yang menjadi mercu tanda berusia hampir 2,000 tahun itu.