Korek salah Trump ‘sampai lubang cacing’ - Utusan Malaysia

Korek salah Trump ‘sampai lubang cacing’

DONALD Trump dan anak perempuannya, Ivanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pejabat Peguam Negara New York dilaporkan menghantar sapina kepada syarikat milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump iaitu Trump Organization berhubung terdapat dakwaan firma itu membayar yuran konsultasi kepada anaknya, Ivanka bagi mengelak dikenakan cukai pendapatan.

The New York Times memetik sumber yang enggan dikenali melaporkan, satu lagi sapina serupa turut dihantar ke syarikat Trump oleh peguam daerah Manhattan iaitu Cyrus Vance Jr berhubung siasatan yang sama.

The Associated Press memberitahu pihaknya tidak dapat mengesahkan secara langsung mengenai panggilan sapina tersebut, namun seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali memaklumkan sapina itu dikemukakan oleh peguam negara, Letitia James.

Sapina tersebut dikeluarkan sebagai rekod susulan laporan dalam The Times sebelum ini mengenai presiden itu yang didakwa tidak membayar cukai pendapatan sebanyak 10 kali dalam tempoh 15 tahun terakhir.

Hipotesis awal yang dibuat menyatakan kegagalan Trump membayar cukai pendapatan tersebut adalah kerana kebanyakan syarikatnya mengalami kerugian.

Pemimpin berusia 74 tahun itu sehingga kini sekeras-kerasnya menafikan dakwaan terbabit dan menyifatkan kesemua laporan itu sebagai berita palsu.

Trump mengurangkan liabiliti cukai pendapatan syarikatnya selama beberapa tahun dengan memotong sebanyak AS$26 juta (RM106 juta) dalam kos konsultasi sebagai perbelanjaan perniagaan.

Beberapa rekod yang diperoleh secara jelas pula menunjukkan yuran konsultasi sebanyak AS$747,622 (RM3.1 juta) dibayar kepada Ivanka Trump menerusi sebuah syarikat miliknya.

Ivanka juga ketika itu memegang jawatan sebagai eksekutif di Trump Organization.

Sekiranya dakwaan tersebut sahih, perkara tersebut dijangka tidak menimbulkan masalah kepada Ivanka selagi beliau membayar cukai pendapatan atas pembayaran konsultasi tersebut.

Namun, dakwaan itu masih menimbulkan persoalan tentang sama ada pengurangan cukai melibatkan Trump Organization dibenarkan atau sebaliknya.

Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS sebelum ini pernah mengenakan hukuman sivil terhadap mana-mana syarikat yang didapati sengaja ‘mewujudkan yuran konsultasi yang tinggi’ kerana ingin mengelak daripada tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

Bagaimanapun, The Times melaporkan bahawa tiada petunjuk untuk mengaitkan Ivanka dijadikan sasaran dalam siasatan yang dilakukan pihak berkuasa AS ketika ini.

Ivanka menerusi Twitternya semalam menegaskan bahawa dakwaan tersebut sebagai ‘serangan yang jelas dan bertujuan’.

“Siasatan oleh Demokrat New York ini dilihat 100 peratus berunsurkan politik, publisiti dan dendam.

“Mereka sebenarnya tahu bahawa tiada apa-apa yang berlaku. Kesemua ahli politik ini bersikap kejam,” ciapnya.

Sementara itu, peguam Trump Organization, Alan Garten dan pasukan perhubungan awam syarikat tersebut dilaporkan masih berdiam diri. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya