SEOUL: Dalang sindiket pemerdagangan seks terbesar di Korea Selatan dihukum penjara 40 tahun.
Bekas pelajar kolej, Cho Ju-bin, 25, didakwa mengendalikan rangkaian jenayah untuk mengaut keuntungan dengan menghasilkan dan menjual video mengandungi kandungan seksual mengenai wanita serta kanak-kanak perempuan.
Tertuduh kemudian memuat naik kandungan berbayar itu menerusi sebuah laman sembang dalam Telegram.
Ju-bin dituduh melakukan jenayah itu daripada Mei tahun lalu hingga Februari tahun ini dengan melakukan ugutan terhadap 74 mangsa dengan 16 daripadanya adalah bawah umur.
Mahkamah menjatuhkan keputusan itu dengan mengambil kira tahap keseriusan jenayah itu, bilangan besar mangsa terlibat dan kesan akibat perbuatan itu dengan mengasingkan tertuduh daripada masyarakat bagi tempoh panjang.
Manakala, lima tertuduh yang membantu Ju-bin menjalankan jenayah itu menerima hukuman penjara daripada tujuh ke 15 tahun.
Kes itu menjadi perbincangan hebat betapa seriusnya jenayah seks digital di Korea Selatan.
Perkongsian kandungan seksual secara haram adalah masalah yang semakin meluas di negara itu dan sebelum ini pengkritik mendakwa pihak berkuasa terlalu berlemah-lembut terhadap jenayah tersebut. -AFP