JAKARTA: Akibat mengalami tekanan kerana kerap bertengkar dengan isteri, seorang suami, ZR, 40, nekad membakar dirinya sendiri di rumah mentuanya di Jalan Sutoyo S, Banjarmasin Tengah, Kalimantan Selatan di sini.
“Keterangan yang kami dapat kerana berpunca daripada masalah rumah tangga,” kata Ketua Unit Penyiasatan Jenayah, Ipda Gusti.
Lapor Kompas, lelaki itu kemudian mendapat rawatan lanjut di Hospital Umum Daerah Ulin Banjarmasin.
Namun begitu, Gusti tidak memperincikan peratusan luka akibat kebakaran yang dialami oleh ZR.
“Akibat kesan kebakaran itu, dia masih menerima rawatan di hospital tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, saksi yang merupakan kakak ipar ZR berkata, pasangan suami isteri itu memang kerap bertengkar.
Katanya, pertengkaran itu membuatkan isterinya sering lari dari rumah mereka di Jalan Alalak Utara dan memilih menginap di rumah ibu bapanya.
“Masalahnya, saya tidak tahu, hanya mereka yang faham. Kalau bertengkar, memang isterinya akan datang ke rumah kami.
“Namun, setelah pertengkaran berakhir, isterinya tidak pulang ke rumah kami. Saya juga tidak tahu di mana dia berada sekarang. Biasanya kalau bertengkar akan pulang ke sini, tetapi sudah memasuki dua hari dia tidak pulang,” jelasnya.
Difahamkan, suaminya nekad mengambil keputusan membakar dirinya kerana tidak berjaya menemukan dan memujuk isterinya pulang ke rumah.