TOKYO: Seorang wanita yang dikenali sebagai Eriko Kobayashi pernah cuba membunuh diri sebanyak empat kali.
Kali pertama wanita itu cuba menamatkan riwayatnya adalah ketika dia berusia 22 tahun kerana tertekan dengan masalah kewangan dan kerjaya.
“Ketika itu saya bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat penerbitan yang gajinya tidak mencukupi untuk membayar sewa rumah serta membeli barangan keperluan. Saya sangat miskin dan terdesak.
“Saya tidak sedarkan diri selama tiga hari di hospital selepas percubaan pertama untuk bunuh diri,” katanya.
Kini, Kobayashi sudah berusia 43 tahun dan aktif menghasilkan beberapa buku mengenai tekanan menghidap penyakit mental serta kerja tetap yang lebih stabil.
Namun, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini menyebabkan wanita itu mula rasa tertekan dan perasaan tersebut sama seperti yang dialaminya ketika dia cuba bunuh diri sebelum ini.
“Gaji saya dipotong dan saya tidak nampak masa depan saya akan cerah selepas ini. Saya mula rasakan keadaan saya akan kembali seperti dulu yang miskin, terdesak dan benar-benar tidak berupaya,” ujarnya.
Di Jepun, statistik kerajaan menunjukkan insiden bunuh diri sudah melebihi jumlah kematian akibat Covid-19.
Menurut Agensi Polis Kebangsaan Jepun, kes bunuh diri meningkat sehingga 2,153 pada bulan lalu dan setakat minggu lepas, jumlah kes kematian akibat Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 2,087.
Mula memuncak Mei 2015
Kes bunuh diri semakin memuncak sejak Mei 2015, sekali gus menjadikan Jepun sebagai antara negara baharu yang berani mendedahkan data bunuh diri dalam kalangan rakyatnya.
Data tersebut secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pandemik Covid-19 benar-benar memberi kesan terhadap kesihatan mental.
“Jepun tidak melaksanakan perintah berkurung seperti di kebanyakan negara lain, namun jumlah kes bunuh diri di negara ini semakin membimbangkan,” kata pakar kesihatan mental, Michiko Ueda dari Universiti Waseda di sini.
Kadar bunuh diri tertinggi di dunia
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jepun menjadi satu daripada negara yang merekodkan kadar bunuh diri tertinggi di dunia.
Pada 2016, purata kes bunuh diri di negara ini adalah 18.5 bagi setiap 100,000 orang dan diikuti oleh Korea Selatan di tempat kedua iaitu 10.6 bagi setiap 100,000 orang.
Punca penduduk negara ini sering bunuh diri disifatkan kompleks melibatkan pelbagai faktor termasuk tempoh kerja terlalu lama, tekanan di sekolah, rasa dipinggirkan masyarakat dan stigma mengenai kesihatan mental.
Covid-19 vs wanita
Pandemik Covid-19 dilihat memberi kesan lebih mendalam terhadap golongan wanita di negara ini apabila pada bulan lalu, kes bunuh diri melibatkan kaum tersebut meningkat hampir 83 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.
Sebagai perbandingan, kes bunuh diri melibatkan golongan lelaki jauh lebih rendah iaitu sebanyak 22 peratus bagi tempoh yang sama.
Hal ini kerana, golongan wanita merupakan kumpulan pekerja separuh masa terbesar di Jepun, terutamanya dalam industri perhotelan, perkhidmatan makanan dan peruncitan.
Kesemua sektor berkenaan terjejas teruk akibat pandemik dan menyaksikan pembuangan pekerja secara besar-besaran, sekali gus menjadi antara faktor kepada peningkatan kes bunuh diri melibatkan kaum hawa.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh organisasi bantuan antarabangsa, CARE terhadap 10,000 orang di seluruh dunia mendapati, 27 peratus golongan wanita merekodkan peningkatan dalam menghidap penyakit mental ketika pandemik berbanding lelaki iaitu hanya 10 peratus.
‘Tempat untuk Anda’
Pada Mac lalu, seorang pelajar universiti, Koki Ozora, 21, menubuhkan talian bantuan kesihatan mental yang dinamakan ‘Anata no Ibasho’ atau ‘Tempat utuk Anda’.
Talian bantuan tersebut secara purata menerima lebih 200 panggilan sehari dan kebanyakannya adalah wanita.
“Mereka kehilangan kerja, perlu membesarkan anak-anak, namun mereka tidak mempunyai duit, maka jalan terbaik adalah dengan bunuh diri,” kata Ozora.
Katanya, kebanyakan panggilan dibuat pada waktu malam dari pukul 10 hingga 4 pagi waktu tempatan. – AGENSI