JAKARTA: Suruhanjaya Individu Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) menggesa supaya Presiden Joko Widodo (Jokowi) melakukan audit serta penilaian menyeluruh terhadap pasukan polis negara ini.
Hal ini susulan terdapat dakwaan menyatakan ada anggota polis menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaaan Undang-Undang Cipta kerja.
Jakarta Post melaporkan, dari 6 hingga 8 Oktober, KontraS menerima kira-kira 1,900 keping gambar dan video yang dirakam di beberapa lokasi menunjukkan anggota polis menggunakan kekerasan termasuk memukul penunjuk perasaan yang terdiri dari golongan pelajar, aktivis, buruh, wartawan dan penduduk setempat.
Pengarah KontraS, Fatia Maulidiyanti menerusi satu kenyataan berkata, dokumentasi itu menunjukkan sejumlah anggota polis memprovokasi penunjuk perasaan dengan memaki hamun, menembak meriam air, melepaskan gas pemedih mata, menendang dan memukul mereka secara berulang kali.
Katanya, tindakan yang ditunjukkan oleh anggota polis terlibat secara tidak langsung menggambarkan ketidakpekaan Jokowi terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh pasukan keselamatan.
“Sehubungan itu, kami menggesa supaya Jokowi melakukan audit secara menyeluruh terhadap pasukan polis negara ini dengan segera.
“KontraS juga menggesa Jokowi untuk mengoptimumkan mekanisme pembetulan dalaman dan luaran melibatkan anggota polis daerah bagi menyiasat semua tindakan kekerasan polis, termasuk ketika demonstrasi Undang-Undang Cipta Kerja,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis Indonesia sehingga kini tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.