Islamofobia dalam Parti Buruh makin ‘merebak’ - Utusan Malaysia

Islamofobia dalam Parti Buruh makin ‘merebak’

SEBAHAGIAN besar penyokong parti Buruh adalah penduduk Britain yang beragama Islam. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih seorang dalam setiap empat ahli dan penyokong Parti Buruh yang beragama Islam iaitu bersamaan kira-kira 29 peratus berdepan dengan sentimen Islamofobia dalam pentadbiran parti pembangkang utama United Kingdom (UK) itu.

Menurut laporan yang dipetik Al Jazeera, komuniti Islam dalam parti tersebut sering dilabel sebagai ‘pengganas’, ‘orang asing’, selain dituduh ‘suka merancang situasi yang tidak dijangka’ dan dijadikan kambing hitam jika berlaku sebarang insiden keganasan walaupun hakikatnya mereka langsung tidak terlibat.

Laporan itu adalah berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Rangkaian Buruh Islam yang merupakan kumpulan ahli serta penyokong parti Buruh Islam terbesar di UK.

Kaji selidik itu dilakukan antara Julai dan Ogos lalu dengan menemu bual 422 ahli parti beragama Islam, termasuk pegawai yang dipilih dalam pilihan raya sebelum ini.

Seorang responden wanita menyatakan secara jelas terdapat sentimen Islamofobia yang kuat dalam Parti Buruh dan pengaruh negatif itu berpunca daripada kejahilan dan sistemik perkauman.

Kajian tersebut menunjukkan hampir 44 peratus responden memaklumkan parti tersebut tidak mengambil serius isu berhubung Islamofobia, manakala 55 peratus daripadanya tidak percaya bahawa Buruh boleh menangani sentimen anti Islam.

Sebagai reaksi, ahli Parlimen Buruh, Afzal Khan berkata, tindakan segera perlu diambil untuk mengubah persepsi dan sentimen Islamofobia dalam parti tersebut.

Katanya, hal ini kerana, komuniti Islam sering memberi sokongan padu terhadap parti tersebut selama beberapa dekad dan perkara itu tidak boleh dipandang remeh.

Selain itu, beberapa isu yang turut menjadi perhatian responden termasuk polisi luar berhubung ‘Perang terhadap Keganasan’ yang diusulkan pada 2001, perubahan polisi mengenai krisis di Kashmir, penjajahan di Palestin dan komitmen Parti Buruh terhadap program pencegahan kegiatan radikal yang dilakukan oleh kerajaan UK.

Pada pilihan raya umum 2017, dianggarkan 85 peratus penduduk beragama Islam menyokong parti tersebut berbanding 11 peratus yang mengundi Parti Konservatif.

Baru-baru ini, parti tersebut juga dituduh ‘mengamalkan anti Semitik’ yang menyaksikan bekas pemimpin pati itu, Jeremy Corbyn digantung perkhidmatan oleh pemimpin ketika ini, Keir Starmer.

Dalam pada itu, pengarah kumpulan kesamarataan kaum, Runnymede Trust, Halima Begum menyifatkan laporan kaji selidik itu ‘mengesahkan kejahilan dalam Parti Buruh dan penafian secara individu’ berhubung Islamofobia dalam arena politik UK.

“Sudah tiba masanya untuk Starmer meneliti semua sumbangan komuniti Islam dalam parti tersebut, sekurang-kurangnya memastikan bahawa Buruh menjadi parti selamat untuk penduduk Islam menyuarakan suara politik mereka,” ujarnya.

Sebanyak 6,822 jenayah kebencian agama direkodkan oleh polis dari 2019 hingga tahun ini dengan setengah daripadanya menyasarkan penduduk Islam.

Selain itu, Parti Konservatif juga dituduh ‘mengembangkan sentimen Islamofobia’ dalam pentadbirannya.

Pada 2018, Perdana Menteri, Boris Johnson menyamakan golongan wanita Islam yang memakai niqab sama seperti perompak bank, sekali gus meningkatkan jenayah berkaitan Islamofobia sehingga 375 peratus.

Sementara itu, anggota Rangkaian Buruh Islam, Ali Milani menegaskan bahawa laporan itu perlu dilihat sebagai ‘amaran’ untuk Parti Buruh mendengar suara semua ahlinya yang beragama Islam.

“Komuniti Islam Britain merupakan penyokong terbesar Parti Buruh, jadi jangan ingat kami akan sentiasa bersama parti itu, pilihan ada di tangan kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya