Insiden keganasan berjangkit ke Vienna - Utusan Malaysia

Insiden keganasan berjangkit ke Vienna

PENGUNJUNG sebuah opera diarahkan meninggalkan premis tersebut selepas insiden tembakan rambang berlaku di tengah bandar Vienna, Austria. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Pihak berkuasa Austria memaklumkan seorang daripada dua penyerang yang melepaskan tembakan rambang di beberapa lokasi berbeza di sini semalam merupakan pelampau agama.

Insiden itu menyaksikan empat maut termasuk seorang daripada penyerang yang ditembak mati oleh polis dan tiga penduduk awam, manakala beberapa lagi cedera akibat terkena tembakan.

Serangan tersebut berlaku di enam lokasi termasuk di sebuah rumah ibadat di tengah Vienna dan pihak berkuasa menyifatkan insiden terbabit sebagai ‘serangan keganasan’.

Menurut polis, serangan itu berlaku pada pukul 8 malam waktu tempatan apabila bunyi tembakan pertama kedengaran di tengah bandar raya ini.

Kejadian itu bermula beberapa jam sebelum Austria melaksanakan semula perintah berkurung susulan wabak Covid-19, menyaksikan penduduk meraikan ‘malam kebebasan terakhir’ di kafe dan restoran.

Polis pada mulanya memaklumkan seorang terbunuh akibat insiden tembakan tersebut dan stesen televisyen tempatan melaporkan mangsa adalah pejalan kaki di satu daripada kawasan kejadian.

Kemudian, Datuk Bandar Vienna, Michael Ludwig menyatakan seorang lagi maut dalam insiden tersebut, selain 15 orang cedera dengan tujuh daripadanya cedera parah.

Dalam satu sidang akhbar awal pagi ini, Menteri Dalam Negeri Austria, Karl Nehammer memaklumkan seorang daripada suspek masih bebas dan polis giat melakukan operasi pencarian.

Dalam pada itu, Canselor Austria, Sebastian Kurz, menyatakan penyerang melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik dan ‘sudah melakukan persiapan awal secara profesional’.

“Polis akan memburu mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan ini. Austria tidak akan tergugat dengan sebarang insiden keganasan dan kita lawan sebaik mungkin,” katanya menerusi Twitter.

Beliau juga memaklumkan polis menjalin kerjasama dengan pasukan anti keganasan dan tentera untuk memburu suspek.

Sementara itu, Nehammer menasihatkan semua penduduk supaya duduk di rumah dan tidak menghampiri mana-mana kawasan tumpuan ramai, selain kanak-kanak tidak dibenarkan ke sekolah hari ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya