Hari paling sedih dalam sejarah Argentina - Utusan Malaysia

Hari paling sedih dalam sejarah Argentina

PEMINAT Maradona berhimpun di Buenos Aires untuk memperingati pemergiannya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Jika bola sepak adalah sebuah agama di Argentina, maka Diego Maradona ialah Tuhannya. Begitulah gambaran yang diberikan oleh penduduk Argentina yang begitu menyanjung tinggi kapten pasukan bola sepak negara itu ketika memenangi Piala Dunia 1986. 

Pemergian Maradona dirasakan oleh semua peminat sukan itu di seluruh dunia termasuk pengasas gereja Maradonian yang menggunakan bahasa agama untuk memuliakan pemain bola. 

Gereja itu menyeru peminat sukan tersebut supaya berkumpul untuk memberikan penghormatan di Obelisk yang merupakan tempat perhimpunan tradisi di Buenos Aires bagi setiap acara bola sepak. 

“Saya tidak mampu untuk bercakap apa-apa ketika ini. Saya akan pergi ke Obelisk untuk beri penghormatan terakhir kepada Maradona,” kata peminat, Guillermo Rodriguez, 42, yang tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. 

Di seluruh kota Argentina, peminat Maradona mula berhimpun dan berkabung dengan bertafakur selama beberapa minit.

Mereka turut membawa papan sepanduk serta kain rentang yang tertulis ‘D10S’ yang membawa maksud ‘dios’ atau tuhan dalam bahasa Latin.

Ada juga dalam kalangan peminat Maradona menyarungkan jersi nombor 10 iaitu nombor yang mewakili legenda bola sepak itu setiap kali beraksi atas padang.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez dalam satu temu bual bersama saluran sukan TyC mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara.

“Hari ini adalah hari paling buruk dalam sejarah Argentina, hari paling sedih untuk kita semua,” katanya.

Seorang lagi peminat, Francisco Salaverry, 28, berkata, beliau seperti tidak percaya Maradona sudah meninggal dunia.

“Saya tidak percaya dia sudah tiada. Rasa seperti mengalami mimpi buruk, namun itulah realitinya, dia benar-benar sudah meninggalkan kita,” ujarnya.

 

SEORANG daripada peminat Maradona bertafakur di depan mural wajah legenda bola sepak itu di Buenos Aires. – AFP

Di Itali, beberapa tempat termasuk di Naples turut berkabung bagi memperingati pemergian Maradona.

Bangunan di sekitar Naples dihiasi dengan gambar Maradona dan sumbangan beliau yang berjaya membawa pasukan bola sepak Napoli ke puncak akan terus dikenang oleh semua penduduk bandar tersebut.

Figura itu bukan sahaja dihormati oleh Raja Sepanyol, bahkan turut digeruni penjenayah sehinggakan Maradona diangkat menjadi tokoh agama di Naples. 

Maradona mengikat kontrak dengan kelab Napoli pada 1984 dengan bayaran sebanyak AS$10.48 juta (RM42.3 juta). 

Namun, selepas Piala Dunia 1990, dia menjadi bintang bola yang dibenci di Itali dan sokongan terhadapnya mula merosot. 

Pada Februari 1991, pihak polis berjaya memberkas Maradona kerana kesalahan pengambilan dadah jenis kokain selain pernah didakwa terlibat dalam aktiviti pelacuran kelas atasan.

Maradona akhirnya hanyut dengan kegemilangan yang diraih sepanjang hayatnya sehingga menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun di kediamannya semalam.  – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya